Dana KWAN dirombak wajibkan sumbangan tahunan Kerajaan Persekutuan, tidak lagi bergantung kepada PETRONAS

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dana KWAN dirombak wajibkan sumbangan tahunan Kerajaan Persekutuan, tidak lagi bergantung kepada PETRONAS Image from: Dana KWAN dirombak wajibkan sumbangan tahunan Kerajaan Persekutuan, tidak lagi bergantung kepada PETRONAS amree15/07/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan mengambil langkah besar memperkukuh kelestarian dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) KWAN 2026.

 

Ia akan mewajibkan sumbangan tahunan Kerajaan Persekutuan, dan menamatkan kebergantungan selama hampir empat dekad kepada syarikat petroleum negara, PETRONAS sebagai satu-satunya penyumbang.

 

Langkah pembaharuan itu dilihat sebagai usaha penting kerajaan bagi memastikan dana kekayaan negara untuk generasi akan datang dapat terus berkembang secara mampan, selain memperkukuh tadbir urus.

 

 

 

 

 

RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 14 Julai 2026 itu bertujuan memansuhkan Akta KWAN 1988 dan memperkenalkan mekanisme pembiayaan yang lebih menyeluruh.

 

Perkembangan tersebut difahamkan timbul selepas isu pengeluaran RM5 bilion daripada KWAN ketika era wabak Covid-19 mencetuskan persoalan mengenai tahap perlindungan dan kelangsungan dana tersebut.

 

Di bawah cadangan baharu KWAN akan memperoleh sumbangan tahunan sekurang-kurangnya 0.1% daripada unjuran hasil tahunan Kerajaan Persekutuan, selain 2% dividen PETRONAS diterima kerajaan.

 

KWAN_DagangNews2026

 

KWAN yang ditubuhkan pada 1988 diwujudkan bagi menyimpan kekayaan hasil sumber asli negara untuk dimanfaatkan generasi akan datang, dengan PETRONAS menjadi penyumbang tunggal sejak penubuhannya.

 

Setakat penghujung 2024, aset bersih KWAN berjumlah RM22.43 bilion, manakala dana itu hanya pernah digunakan dua kali iaitu projek Paya Indah Wetlands pada 2001 dan ketika era Covid-19 pada 2021.

 

Menerusi RUU itu, penggunaan syarat pengeluaran dana KWAN selepas ini dihadkan kepada tiga bidang utama sahaja iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

 

Selain itu, jumlah pengeluaran tahunan terhad kepada maksimum 50% daripada anggaran kadar pulangan sebenar dana bagi sesuatu tahun kewangan, dan jika lebih perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

 

 

 

 

 

 

RUU itu turut mencadangkan penubuhan KWAN (Diperbadankan) sebagai badan bertanggungjawab mentadbir, dan melaburkan dana, termasuk menyediakan strategi jangka panjang kepada Menteri Kewangan.

 

Ketika ini, portfolio pelaburan KWAN diuruskan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bacaan kali kedua membuka laluan kepada reformasi menyeluruh pengurusan dana amanah strategik negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved