Vsolar lanjutkan lagi guna baki dana terbitan hak RM28 juta selepas 6 tahun projek masih belum bermula

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2026 • 4:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vsolar lanjutkan lagi guna baki dana terbitan hak RM28 juta selepas 6 tahun projek masih belum bermula Image from: Vsolar lanjutkan lagi guna baki dana terbitan hak RM28 juta selepas 6 tahun projek masih belum bermula amree15/07/2026 - 16:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 JulaiVsolar Group Berhad sekali lagi melanjutkan tempoh penggunaan baki dana sebanyak RM27.9 juta yang dikumpulkan menerusi terbitan hak saham berserta waran pada 2020 lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan projek loji biomassa dan biogas yang menjadi fokus pelaburan itu masih belum lagi memulakan sebarang usaha pembinaan sehingga kini.

 

Sehubungan itu, lanjutan tempoh selama 12 bulan lagi diperlukan bagi membolehkan pengurusan menilai semula daya maju komersial projek berkenaan sebelum baki hasil kutipan digunakan sepenuhnya.

 

"Kelewatan penggunaan dana itu berpunca daripada perubahan ketara dalam landskap tenaga boleh diperbaharui (RE) negara sejak pelaksanaan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0," kata Vsolar.

 

Pada masa sama, syarikat tersebut berkata rangka kerja kawal selia bagi projek biomassa dan biogas turut berubah, termasuk mekanisme peruntukan tarif galakan (FiT) serta kuota RE yang ditawarkan kerajaan.

 

Perkembangan itu menyebabkan pihak pengurusan perlu membuat penilaian berkala terhadap andaian komersial projek, termasuk dalam aspek bekalan bahan mentah, dan keperluan perbelanjaan modal.

 

Vsolar_DagangNews2026

 

Justeru, Vsolar berpandangan adalah lebih berhemat meneruskan proses penilaian bagi memastikan projek tersebut benar-benar berdaya maju sebelum sebarang keputusan pelaburan muktamad dilaksanakan.

 

"Syarikat turut mendedahkan yang kerja pembangunan dan pembinaan loji masih belum dimulakan setakat tarikh pengumuman ini dibuat," tambahnya. Jumlah keseluruhan dana itu mencecah RM36.9 juta. 

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan sudah membelanjakan RM9.04 juta manakala baki daripada terbitan hak itu dapat digunakan dalam tempoh lanjutan baharu selama 12 bulan berdasarkan penilaian semasa.

 

Sepanjang tempoh itu, Vsolar akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan bekalan yang mampan, mencapai unjuran hasil dan pulangan serta mengekalkan daya maju komersial dan operasi projek.

 

Menurut syarikat itu lagi, lembaga pengarah akan terus memantau perkembangan projek sepanjang tempoh lanjutan berkenaan termasuk kemungkinan kerja-kerja tersebut tidak berdaya maju selepas enam tahun.

 

"Sekiranya berlaku, syarikat akan mempertimbangkan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi mengubah penggunaan baki dana yang masih belum dimanfaatkan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved