
SERDANG: Pelari pecut negara, Danish Ifthikar Muhammad Roslee dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mengesahkan status sebagai pelari terpantas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas masing-masing menjuarai acara 100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Danish yang membawa cabaran Johor mempamerkan pecutan bertenaga dalam final 100m lelaki apabila menjadi pelari pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 10.27 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Danish mempertahankan gelaran raja pecut SUKMA untuk kali kedua berturut-turut, sekali gus membuktikan dirinya kekal antara pelari muda terbaik negara.
“SUKMA kali ini banyak tekanan dan Alhamdulillah saya berjaya mengawal segalanya. Saya sangat bersyukur dapat melakukannya dan terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan serta UPSI yang banyak membantu saya,” katanya.
Pelari berusia 21 tahun itu mengakui masih menyimpan impian untuk memecahkan rekod SUKMA milik Khairul Hafiz Jantan yang dicatat pada 2016, namun menyedari masih mempunyai satu lagi peluang pada edisi akan datang.
“Khairul Hafiz Jantan merupakan senior saya yang mencipta rekod SUKMA pada 2016. Saya cuba sasarkan rekod itu sebelum tamat SUKMA umur 21 tahun.
“Saya ada satu lagi SUKMA dan Insya-Allah jika diberikan kemudahan, saya akan buat yang terbaik dan berikan segalanya,” katanya.

Tidak kurang hebatnya dalam saingan wanita apabila Izzatul turut menepati reputasinya selepas mengungguli final 100m dengan catatan 11.73s untuk menghadiahkan pingat emas kepada Terengganu.
Izzatul mempamerkan larian cukup kemas apabila berjaya mengekalkan rentak sepanjang perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama, sekali gus dinobatkan sebagai ratu pecut SUKMA Selangor 2026.
“Alhamdulillah dengan pencapaian hari ini. Walaupun saya tidak dapat mencatat rekod peribadi (PB), saya sangat teruja kerana akhirnya berjaya meraih pingat emas dan dapat menebus kembali kekecewaan pada SUKMA 2024.
“Walaupun keadaan sedikit gerimis dan angin turut mempengaruhi perlumbaan, dalam fikiran saya hanya satu, iaitu melepasi garisan penamat dan mendapatkan pingat emas,” kata Izzatul.
Kejayaan itu meneruskan momentum positif Izzatul yang semakin menyerlah dalam acara pecut kebangsaan, manakala Danish pula berpeluang menambah dua lagi emas menerusi acara 200m dan 4x100m.-UTUSAN
The post Danish, Izzatul raja dan ratu pecut SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.





