Danish pecah rekod 200m SUKIPT, bukti percaya pada proses bawa kejayaan

2 Sep 2026 • 5:48 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Danish pecah rekod 200m SUKIPT, bukti percaya pada proses bawa kejayaan

KUALA LUMPUR – Bukan sasaran rekod yang bermain di fikirannya, sebaliknya kepercayaan terhadap proses latihan menjadi kunci kejayaan pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee apabila mengukuhkan gelaran ‘Raja Pecut’ Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan memecahkan rekod temasya acara 200 meter (m) lelaki di UM Arena, hari ini.

Mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish mencatat masa 20.77 saat untuk memperbaharui rekod kejohanan sekali gus memperbaiki catatan terbaik musimnya yang sebelum ini direkodkan pada temasya SUKMA dengan masa 20.85 saat.

Atlet muda itu berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna kerana ia membuktikan hasil daripada disiplin dan keyakinan terhadap perancangan latihan yang dilaluinya sejak sekian lama.

“Pertama-tama saya sangat bersyukur kerana berjaya memperbaharui season best. Sebelum ini di SUKMA saya mencatat 20.85 saat dan di SUKIPT ini saya berjaya mencatat 20.77 saat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Menurut Danish, beliau langsung tidak meletakkan tekanan untuk memburu rekod temasya, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada prestasi sendiri dan berusaha mengeluarkan larian terbaik demi universiti, keluarga serta dirinya.

“Saya hanya percaya dengan proses, saya percaya pada diri sendiri bahawa saya boleh berikan yang terbaik untuk UPSI, diri saya dan juga keluarga. Saya tidak fikir mengenai perkara lain, apa yang saya fikir ialah membuktikan saya boleh lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Kejayaan di pentas SUKIPT turut menyuntik semangat buat pelari berusia muda itu untuk mengejar impian lebih besar iaitu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara 200m pada masa hadapan.

Bagaimanapun, Danish mengakui keadaan fizikalnya masih belum berada pada tahap optimum berikutan jadual pertandingan yang berlangsung secara berturut-turut sejak beberapa temasya lalu.

“Kondisi badan saya belum 100 peratus kerana banyak pertandingan back-to-back, tetapi dengan mind-set yang betul saya akan cuba menjaga recovery dan memastikan badan sentiasa bersedia untuk pertandingan akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai antara pelapis muda negara dalam acara 200m, perjalanan masih panjang dan setiap kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil sokongan ramai pihak termasuk keluarga, jurulatih, guru serta rakan-rakan seperjuangan.

“Saya tidak akan sampai sejauh ini tanpa bantuan dan sokongan daripada semua orang. Alhamdulillah, kerana mereka saya dapat berdiri di sini dan terus mencipta sesuatu yang baharu,” katanya.

Danish turut menganggap persaingan bersama seorang lagi pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi sebagai motivasi positif untuk meningkatkan prestasinya dalam usaha membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Pelari UPSI itu mula menceburi sukan olahraga sejak berusia sembilan tahun sebelum mengambil bidang pecut secara lebih serius ketika berada di Tingkatan Tiga pada usia 15 tahun, sekali gus menjadi antara prospek utama negara dalam acara 200 meter.

The post Danish pecah rekod 200m SUKIPT, bukti percaya pada proses bawa kejayaan appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved