
KUALA LUMPUR – Pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Roslee merangkul pingat emas temasya Sukan IPT (Sukipt) 2026 selepas memenangi acara 200 meter (m) lelaki.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium UM Arena, Universiti Malaya (UM) hari ini, dia memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas melintasi garisan penamat menerusi catatan masa 20.77 saat (s).
Apa yang menarik, catatan masa dilakukan atlet berusia 19 tahun itu menyaksikan dia hampir untuk memperbaharui rekod kebangsaan 20.73s miliknya yang dilakukan pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember tahun lalu.
Danish berkata, walaupun hanya dibezakan 0.04s dengan rekod tersebut, namun Danish tetap bersyukur kerana catatan masa 20.77s itu merupakan catatan terbaiknya (SB) pada saingan musim ini.
“Pertama sekali, saya bersyukur sangat kerana dapat memperbaharui SB. Sebelum ini ketika di Sukma, saya mencatat 20.85s dan kali ini saya berjaya memperbaharui SB di Sukipt dengan catatan 20.77s.
“Saya hanya percaya kepada proses dan melakukan larian seperti biasa. Saya percaya bahawa saya mampu berikan yang terbaik di Sukipt untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.
Mengiringi Danish di podium adalah rakan sepasukannya, Aiman Ikhwan Yahya yang memenangi pingat perak dengan catatan masa 21.39s manakala gangas menjadi milik atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Haziq Mohammad Akhir.
Pada masa sama, atlet kelahiran Johor itu masih menanam hasrat untuk memperbaharui rekod kebangsaan dan dia sedia melakukan segala-galanya bagi memsatikan impian tersebut dapat dicapai.
“Insya-Allah cita-cita untuk memecahkan catatan terbaik peribadi (PB) yang juga merupakan rekod kebangsaan masih ditanam dalam diri. Saya hanya percaya kepada proses dan rezeki daripada Allah,” ujar Danish.
Sementara itu, pingat emas 200m wanita turut menjadi milik pelari UPSI, Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka yang mencatat 24.76s menewaskan Nur Afrina Batrisyia (25.02s) Mohamad Rizal dari UPM dan atlet Universiti Sunway, Tay Shuen Min (26.09s). – KOSMO! ONLINE
The post Sukipt 2026: Danish hampir lebur rekod 200m kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.






