
PUTRAJAYA: DAP setakat ini belum lagi memutuskan dan menyerahkan nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, beliau belum lagi menyerahkan nama berkenaan setakat ini.
“Belum lagi, belum lagi. Ini bidang kuasa (pelantikan) Perdana Menteri. Nanti kita bincang dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Loke melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Ditanya mengenai khabar angin kononnya Perdana Menteri tidak mahu menerima peletakan jawatannya, Loke berkata, beliau kekal dengan pendiriannya untuk meletakkan jawatan.
“Tidak, tidak. Seperti yang saya nyatakan, peletakan jawatan saya telah pun berkuat kuasa semalam. Saya akan menamatkan tugas saya bermula hari ini,” katanya.
Ditanya apa tumpuannya selepas ini, Loke menjelaskan, keutamaannya kini adalah peranannya sebagai Setiausaha Agung DAP.
“Saya perlu memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh parti, menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen serta terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya. – UTUSAN
The post DAP belum serah nama isi kekosongan jawatan Menteri Pengangkutan appeared first on Utusan Malaysia.





