'DAP, BN patut keluar Kerajaan Perpaduan jika tiada keserasian' - Mohd Razlan

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'DAP, BN patut keluar Kerajaan Perpaduan jika tiada keserasian' - Mohd Razlan
Mohd Razlan

SHAH ALAM - DAP dan Barisan Nasional (BN) sepatutnya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan secara bersama sekiranya sudah tidak lagi mempunyai keserasian dalam bekerjasama.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, tindakan tersebut sekali gus memberi peluang kepada rakyat menentukan semula mandat pemerintahan negara.

"Ketika BN menubuhkan kerajaan bersama PH (Pakatan Harapan), ramai dalam kalangan ahli parti juga tidak suka. Tetapi disebabkan demi rakyat, kita tubuhkan juga kerajaan.

"Jadi, sekiranya sudah tidak suka antara satu sama lain seperti yang dinyatakan Anthony Loke terhadap BN, seeloknya kita pulangkan semula mandat kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP dilapor mencabar Ahli Parlimen BN supaya meletakkan jawatan dalam Kabinet daripada terus mengkritik Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan meskipun masih berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, mereka yang tidak bersetuju dengan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama dengan melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Dalam pada itu Mohd Razlan menegaskan, tempoh pentadbiran kerajaan yang sudah memasuki empat tahun tiga bulan juga sudah cukup matang untuk mandat dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan parti layak membentuk kerajaan baharu.

Malah menurutnya, tindakan menarik diri secara bersama adalah lebih wajar berbanding terus mempertahankan kerjasama politik yang dilihat semakin berdepan ketegangan antara parti dalam kerajaan.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Seremban itu yang meletakkan jawatan sebagai menteri susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd Razlan menjelaskan, Anthony berhak menyuarakan bantahan namun perlu menghormati undang-undang.

"Kalau DAP sudah tidak suka dan tidak menghormati undang-undang serta Perlembagaan Malaysia, kita pulangkan semula mandat ini kepada rakyat.

"Apa lagi yang hendak kita bincangkan mengenai pembangunan rakyat apabila ada waktunya DAP dilihat menekan parti-parti BN.

"Selepas ini mungkin Anthony akan menggunakan kedudukannya di luar untuk mengkritik serta memburukkan rakan parti yang masih berada dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved