Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 10:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan

MELAKA – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diminta melepaskan jawatan dalam Kabinet daripada terus mengkritik kerajaan ketika masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Cabaran itu disuarakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam penampilan awam pertamanya selepas melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Menurutnya, pemimpin yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama dengan mengambil keputusan untuk keluar daripada Kabinet.

“Jika tidak berpuas hati, keluarlah. Jika tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, letak jawatan. Saya sudah berbuat demikian. Bagaimana pula dengan anda, sahabat saya?

“Setiap hari anda menyuarakan rasa tidak setuju, manakala parti anda menyerang Perdana Menteri siang dan malam dengan mendakwa pelbagai perkara tidak kena. Namun, anda masih kekal dalam kerajaan.

“Setiap Rabu dan Jumaat, anda menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya yang anda mahukan?” katanya ketika berucap pada satu ceramah di sini, malam tadi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan keputusan berkaitan peruntukan, namun masih memilih untuk kekal dalam pentadbiran.

“Ada parti yang tidak berpuas hati dan setiap hari mengkritik kerajaan, mempersoalkan mengapa kementerian tertentu tidak menerima peruntukan serta membangkitkan pelbagai isu lain. Mengapa mereka masih berada dalam kerajaan? Mengapa mereka tidak keluar?” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu turut menggesa pengundi di Melaka menggunakan undi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menyampaikan mesej tegas kepada pihak yang mendesak Anwar membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Walaupun ada pihak tertentu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen, kita ingin mengingatkan mereka bahawa mandat masih berada di tangan Anwar.

“Jika tidak berpuas hati, anda boleh keluar. Walaupun saya sudah meletakkan jawatan sebagai menteri, saya memberi jaminan semua Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Anwar. Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

 

The post Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved