Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 8:13 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan dicabar meletakkan jawatan dalam Kabinet jika benar-benar tidak berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu perlu bagi menunjukkan prinsip tanggungjawab bersama dalam kerajaan, khususnya kepada pemimpin yang secara terbuka mempertikaikan dasar dan keputusan kerajaan.

Beliau yang melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan semalam berkata, pihak yang tidak bersetuju dengan Perdana Menteri sepatutnya mengambil pendirian sama dengan dirinya yang memilih untuk berundur daripada Kabinet.

“Jika tidak berpuas hati, keluarlah. Jika tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, letak jawatan. Saya sudah berbuat demikian. Bagaimana pula dengan anda, sahabat saya?” katanya ketika berucap pada satu ceramah di Melaka, malam tadi.

Menurutnya, tindakan mengkritik kerajaan setiap hari tetapi masih menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar menunjukkan percanggahan pendirian dalam kalangan parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Setiap hari anda menyuarakan rasa tidak setuju, manakala parti anda menyerang Perdana Menteri siang dan malam dengan mendakwa pelbagai perkara tidak kena. Namun, anda masih kekal dalam kerajaan.

“Setiap Rabu dan Jumaat, anda menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya yang anda mahukan?” katanya.

Anthony Loke turut mempersoalkan tindakan parti yang terus mempertikaikan agihan peruntukan kementerian dan pelbagai dasar kerajaan namun enggan menarik diri daripada pentadbiran.

“Ada parti yang tidak berpuas hati dan setiap hari mengkritik kerajaan, mempersoalkan mengapa kementerian tertentu tidak menerima peruntukan serta membangkitkan pelbagai isu lain. Mengapa mereka masih berada dalam kerajaan? Mengapa mereka tidak keluar?” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pengundi di Melaka menggunakan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai mesej kepada pihak yang mendesak Anwar membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, mandat untuk menerajui kerajaan masih berada di tangan Anwar dan DAP akan terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri itu.

“Walaupun ada pihak tertentu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen, kita ingin mengingatkan mereka bahawa mandat masih berada di tangan Anwar.

“Jika tidak berpuas hati, anda boleh keluar. Walaupun saya sudah meletakkan jawatan sebagai menteri, saya memberi jaminan semua Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Anwar. Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Kenyataan Ahli Parlimen Seremban itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilaporkan berpandangan Parlimen lebih wajar dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat berbanding melakukan rombakan Kabinet.

Zahid turut menyatakan tiada keperluan untuk rombakan Kabinet dilaksanakan buat masa ini. – UTUSAN

The post Anthony Loke cabar Ahli Parlimen BN letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved