Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencabar pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sering mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berani melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Loke berkata, pemimpin yang menganggotai pentadbiran kerajaan perlu berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama dan bukannya terus mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri ketika masih memegang jawatan.
Beliau yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan semalam berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Anwar sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya dan bukannya sekadar melontarkan kritikan.
“Jika tidak berpuas hati, keluarlah. Jika tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, letak jawatan. Saya sudah berbuat demikian. Bagaimana pula dengan anda, sahabat saya?” katanya ketika berucap pada ceramah di Melaka, malam tadi.
Beliau turut menyindir sikap segelintir pemimpin yang lantang menyerang kerajaan, namun pada masa sama masih mengambil bahagian dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar.
“Setiap hari anda menyuarakan rasa tidak setuju, manakala parti anda menyerang Perdana Menteri siang dan malam dengan mendakwa pelbagai perkara tidak kena. Namun, anda masih kekal dalam kerajaan.
“Setiap Rabu dan Jumaat, anda menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya yang anda mahukan?” ujarnya.

Foto arkib: Bernama
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Seremban itu juga membangkitkan tindakan parti tertentu yang kerap mempersoalkan dasar pentadbiran serta pembahagian peruntukan kementerian, tetapi masih enggan meninggalkan kerajaan.
“Ada parti yang tidak berpuas hati dan setiap hari mengkritik kerajaan, mempersoalkan mengapa kementerian tertentu tidak menerima peruntukan serta membangkitkan pelbagai isu lain.
“Mengapa mereka masih berada dalam kerajaan? Mengapa mereka tidak keluar?” katanya.
Sementara itu, Loke menyeru rakyat Melaka menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan menyampaikan mesej kepada pihak yang mahu Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).
Beliau menegaskan bahawa Anwar masih mempunyai mandat untuk memimpin negara, selain memberi jaminan bahawa peletakan jawatannya sebagai menteri tidak akan menjejaskan sokongan DAP terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Walaupun ada pihak tertentu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen, kita ingin mengingatkan mereka bahawa mandat masih berada di tangan Anwar.
“Jika tidak berpuas hati, anda boleh keluar. Walaupun saya sudah meletakkan jawatan sebagai menteri, saya memberi jaminan semua Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Anwar. Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Kenyataan Loke itu dipercayai ditujukan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan pandangannya sebelum ini bahawa pembubaran Parlimen dan pemulangan mandat kepada rakyat lebih wajar dipertimbangkan berbanding rombakan Kabinet.
Zahid sebelum ini turut menyatakan bahawa rombakan Kabinet tidak perlu dilakukan pada masa sekarang.
Sumber: Utusan Malaysia






