DAP lapor polis hantaran kaitkan parti dengan institusi diraja

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 2:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP lapor polis hantaran kaitkan parti dengan institusi diraja

SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan parti itu dengan krisis di negeri berkenaan serta institusi diraja Negeri Sembilan.

Pengerusinya, J. Arul Kumar berkata, hantaran menerusi akaun Facebook milik Khalide Al Walid itu antara lain mendakwa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai kaitan dengan DAP selain mengaitkan parti itu dengan isu tanah adat.

Beliau berkata dakwaan berkenaan merupakan perkara serius kerana membabitkan institusi diraja yang sepatutnya bebas daripada kaitan dengan mana-mana parti politik.
“Sebagai parti politik, kita biasa berhadapan kritikan dan tekanan, tetapi apabila institusi diraja dikaitkan dengan mana-mana parti politik, perkara itu sudah melampaui batas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.

Arul berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti pemilik dan latar belakang akaun yang memuat naik hantaran berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata hantaran itu turut didakwa mengaitkan DAP dengan beberapa isu termasuk tanah adat, kehadiran wakil rakyat pada taklimat berkaitan agama dan pertukaran nama jalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai itu berkata sepanjang lapan tahun menjadi Exco kerajaan negeri sebelum ini, perkara berhubung pemindahan milik tanah adat tidak pernah dibincangkan.

“Selain itu dakwaan wakil rakyat DAP menghadiri mesyuarat di Pejabat Agama itu adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat, kehadiran pada taklimat berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat yang boleh disampaikan kepada pengundi dan penduduk khususnya pengundi Islam di kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, mengenai pertukaran nama jalan, Arul berkata perkara berkenaan merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan bukan isu yang wajar dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

Arul berkata DAP tidak mahu isu berkenaan dipolitikkan atau dikaitkan dengan parti itu kerana krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan dengan segera demi memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan baik. – BERNAMA

The post DAP lapor polis hantaran kaitkan parti dengan institusi diraja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved