DAP mohon minit mesyuarat pengampunan Najib didedahkan

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 4:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP mohon minit mesyuarat pengampunan Najib didedahkan

PETALING JAYA: DAP sudah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan kepada umum.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, permohonan itu merupakan pendirian parti berkenaan, namun sebarang keputusan untuk mendedahkan dokumen tersebut perlu melalui prosedur undang-undang yang ditetapkan.

“Memang kita sudah menyatakan hasrat ini kepada Perdana Menteri tetapi perlu ada prosedur untuk menyahklasifikasi minit berkenaan. Jadi sama ada bila didedahkan dan sebagainya, itu terpulang kepada pihak Peguam Negara.

“Itu memang pendirian kita. Kita harap keputusan atau minit itu dapat diumumkan tetapi ia tertakluk kepada pendirian Peguam Negara,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tuntutan beberapa pihak dalam parti termasuk Wanita DAP dan pimpinan cawangan yang meminta kerajaan mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung kes bekas Presiden UMNO itu.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta bagi kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Keputusan tersebut mendapat pelbagai reaksi politik termasuk dalam kalangan pemimpin dan akar umbi DAP yang menuntut ketelusan menerusi pendedahan minit mesyuarat serta alasan di sebalik pengurangan hukuman berkenaan. – UTUSAN

The post DAP mohon minit mesyuarat pengampunan Najib didedahkan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved