Najib Masih Di Penjara, Denda RM50 Juta Belum Dijelaskan - AG

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 8:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Najib Masih Di Penjara, Denda RM50 Juta Belum Dijelaskan - AG

KOTA BHARU - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih belum menjelaskan denda berjumlah RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat bagi membolehkannya menjalani baki tempoh hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata tiada tempoh khusus ditetapkan untuk pembayaran denda berkenaan. 

Bagaimanapun katanya, Najib perlu terus menjalani hukuman di penjara selagi jumlah itu belum dilunaskan.

“Selagi denda itu belum dibayar, Datuk Seri Najib akan kekal di penjara,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Program Sekolah Angkat MADANI anjuran Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini, hari ini.

Pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta berkenaan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.

Sebelum ini, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan anak guamnya tidak berkemampuan untuk membayar denda berkenaan yang menjadi antara syarat bagi pelaksanaan tahanan di rumah itu.

Susulan itu, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi mengumpulkan dana untuk membantu menjelaskan bayaran berkenaan, selain menggesa pemimpin, ahli dan penyokong parti menyumbang kepada tabung tersebut. - Getaran, 1 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved