SHAH ALAM - DAP perlu fleksibel untuk menilai semula keputusan kekal dalam kerajaan sekiranya berlaku perkembangan yang memudaratkan kepentingan parti.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramkarpal Singh berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan menjelang Konvensyen DAP dengan keputusan tersebut tidak seharusnya dianggap komitmen tanpa mengira apa yang berlaku pada masa depan.
"Perlu dijelaskan bahawa perwakilan mempunyai kebebasan untuk menilai semula keputusan kekal dalam kerajaan jika terdapat alasan munasabah berbuat demikian pada masa akan datang.
"Perkara ini penting untuk ditekankan kerana mungkin wujud tanggapan salah bahawa undi kekal dalam kerajaan bagi baki penggal Parlimen ini bermaksud kekal walau apa pun yang berlaku, meskipun peristiwa pada masa depan terbukti memudaratkan kepentingan parti," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Lebih 4,200 perwakilan DAP dilapor akan menghadiri Konvensyen DAP yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya, Ahad ini, bagi menentukan sama ada parti itu perlu kekal dalam kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal.
Dalam pada itu Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menjelaskan, antara keadaan dianggap memudaratkan kepentingan parti ialah sekiranya UMNO berkeras untuk mendapatkan pengampunan dan pembebasan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sama ada perkara ini melampaui garis merah atau tidak, seharusnya menjadi sesuatu yang terbuka untuk difikirkan oleh perwakilan.
"Mereka harus bebas memilih meninggalkan kerajaan dalam keadaan sedemikian walaupun telah mengundi untuk kekal dalam kerajaan pada Ahad ini," ujarnya.
Pengerusi Biro Kebangsaan DAP itu turut memuji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana berusaha memberikan penerangan secara objektif kepada perwakilan mengenai kebaikan dan keburukan sekiranya parti kekal atau meninggalkan kerajaan.
Menurutnya, penerangan itu turut disokong analisis dan data bebas bagi membantu perwakilan membuat keputusan.
"Saya percaya perwakilan yang hadir lebih memahami perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengundi pada hujung minggu ini.
"Sama ada cadangan tersebut dilabelkan sebagai 'klausa keluar' atau sebaliknya, ia tetap demi kepentingan terbaik parti," tegasnya.






