DAP sah keluar kerajaan Melaka, Khoo tanya -“Bila Akmal nak letak jawatan?”

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 4:39 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Melaka mengumumkan peletakan jawatan daripada kerajaan negeri selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda menunaikan janji parti berkenaan untuk berundur sekiranya pindaan Perlembagaan Negeri diluluskan bagi membolehkan pelantikan Adun lantikan.

Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, DAP tidak boleh terus berada dalam kerajaan negeri selepas menolak usul berkenaan.

“Memandangkan kita telah menolak usul yang dibentang oleh kerajaan, kita tak boleh tolak dan berada dalam kerajaan pada masa yang sama. Itu tidak adil.
“Sebagai basic backbencher sepatutnya mereka perlu menyokong dasar atau usul dalam DUN. Apatah lagi ini usul penting sebab berkaitan perlembagaan negeri,” katanya dalam sidang media.

Image from: DAP sah keluar kerajaan Melaka, Khoo tanya -“Bila Akmal nak letak jawatan?”

Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan menerusi undian suara dengan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokong, manakala lima lagi membantah.

Antara pemimpin DAP yang melepaskan jawatan ialah Exco negeri, Allex Seah; Timbalan Exco, Low Chee Leong dan Leng Chau Yen; serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Kerk Chee Yee.

Image from: DAP sah keluar kerajaan Melaka, Khoo tanya -“Bila Akmal nak letak jawatan?”

Khoo berkata, DAP turut melepaskan semua jawatan lantikan kerajaan negeri termasuk ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel lanjut: Letak semua jawatan? DAP Melaka dijangka umum keluar kerajaan negeri

Mengulas sama ada keputusan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khoo berkata perkara berkaitan pentadbiran negeri perlu diselesaikan di peringkat negeri.

“Bab urusan kerajaan negeri biar kita uruskan, PM ada hal yang lebih besar dan lebih penting nak jaga,” katanya.

Dalam pada itu, Khoo turut mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr Akmal Saleh berhubung janji untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri.

“Jadi kenyataan terakhir saya, bila Akmal hendak letak jawatan?” katanya.

Sebelum ini, hanya tiga Adun mengambil bahagian dalam perbahasan pindaan berkenaan iaitu Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub; Adun Rim, Khaidhirah Abu Zahar; dan Adun Kelebang, Lim Bang Hong.

Sumber: FB Allex SeahMalaysiakini

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved