RUU 7 ADUN Lantikan Dilulus, DAP Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan Melaka

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 5:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

RUU 7 ADUN Lantikan Dilulus, DAP Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan Melaka

KUALA LUMPUR - DAP Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa proses pilihan raya.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, dalam satu sidang media khas hari ini, sejurus selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.

Pindaan tersebut membuka laluan kepada pelantikan tujuh ADUN, yang menurut DAP telah mendorong parti itu menilai semula kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah empat ADUN DAP, iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).

Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang dibentangkan oleh Ab Rauf diluluskan menerusi undian suara, dengan 23 undi menyokong dan lima undi menolak.

Kelulusan pindaan tersebut mewujudkan perbezaan pendirian yang ketara antara kerajaan negeri dan DAP Melaka, yang sejak awal menentang cadangan berkenaan kerana berpendapat pelantikan ADUN dilantik berisiko menjejaskan mandat demokrasi wakil rakyat dipilih melalui pilihan raya, selain meningkatkan pengaruh pihak eksekutif terhadap proses perundangan.

Mempertahankan pindaan itu, Ab Rauf berkata ia tidak akan mengubah komposisi sedia ada DUN Melaka yang mempunyai 28 wakil rakyat dipilih, sebaliknya menyediakan ruang kepada individu dengan kepakaran khusus untuk menyumbang secara langsung dalam urusan perundangan.

Poay Tiong berkata, keputusan menarik diri itu selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.

Ketika ditemui pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri Melaka selepas sidang berakhir, beliau berkata keputusan terbabit dibuat susulan tindakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Allex Seah, yang mengundi menentang usul dibawa kerajaan negeri.

“Pendirian kami sentiasa jelas. Kami menentang cadangan ADUN lantikan dan akan terus berpegang kepada prinsip tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari, juga mengundi menolak rang undang-undang berkenaan ketika persidangan DUN.

Menurut Poay Tiong, kerajaan negeri boleh mendapatkan khidmat golongan profesional dan pakar dengan melantik mereka sebagai penasihat, tanpa perlu memberikan kedudukan sebagai ADUN.

“Jika kerajaan negeri memerlukan khidmat profesional atau pakar, mereka boleh dilantik sebagai penasihat dan bukannya ADUN dilantik.

“Apabila mereka dilantik sebagai ADUN, mereka boleh menghadiri persidangan DUN dan mengundi. Ini bertentangan dengan prinsip sistem pilihan raya kita, wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat,” katanya.

Poay Tiong berkata, adalah tidak wajar bagi DAP untuk terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas menolak satu usul penting yang dibawa kerajaan.

“Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kami tidak boleh menolak usul kerajaan tetapi pada masa sama terus berada dalam kerajaan serta menikmati keistimewaan dan sumber yang disediakan. Itu bukan sesuatu yang adil,” katanya.

Beliau mengesahkan Allex Seah, bersama dua Timbalan Exco daripada DAP serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka, akan melepaskan jawatan masing-masing.

Bagaimanapun, empat ADUN DAP akan terus mengekalkan kerusi yang dimenangi melalui pilihan raya dan akan berperanan sebagai blok pembangkang dalam DUN Melaka.

Poay Tiong turut menolak dakwaan bahawa keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal diadakan, sambil menjelaskan DAP telah memaklumkan pendirian parti kepada Ab Rauf sebelum rang undang-undang itu dibentangkan. - Getaran, 14 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved