Dari dasar laut ke puncak dunia, misi baharu Khairul Aming

Business & Finance
5 Aug 2026 • 9:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dari dasar laut ke puncak dunia, misi baharu Khairul Aming
KA mengumumkan melancarkan produk Sambal Nyet Bilis di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia di Kuala Lumpur.

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Selepas turun ke laut bersama nelayan dan meninjau kebun cili, usahawan serta pempengaruh, Khairul Amin Kamarulzaman bakal mengangkat martabat produk tempatan di mercu tanda kedua tertinggi dunia pada Jumaat ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Khairul Aming berkata, konsep kemerdekaan dipilih untuk acara tersebut bagi mengimbau dan meraikan pejuang tanah air, selain menghargai golongan yang selama ini menjadi tunjang pembangunan serta ekonomi.

Menurutnya, setinggi mana kejayaan dicapai, seseorang itu tidak boleh melupakan jasa mereka yang menyumbang kepada negara.

"Kepada para nelayan, petani, pekerja, pasukan media dan semua yang terlibat, terima kasih KA ucapkan.

"Kepada semua peniaga-peniaga tempatan, teruskanlah berusaha dan sama-samalah kita beri sokongan kepada mereka," katanya menerusi video di media sosial pada Rabu.

Sebelum ini, usahawan berusia 33 tahun itu berkongsi perjalanan turun ke laut menyertai nelayan menangkap ikan bilis mata biru, meninjau kerja di kebun cili dan pemprosesan di kilang untuk pengeluaran produk tersebut.

“Dari dasar laut bilis ditangkap, sama-sama kita angkat produk tempatan kita ke puncak dunia,” kata beliau.

Menurut Khairul Aming, kejayaan membina perniagaan tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan keberanian untuk mencuba dan kesungguhan.

Jelas beliau, enam tahun lepas botol sambal yang pertama dilancarkan di satu kedai runcit tepi jalan.

“Untuk sambal yang kedua kita akan lancarkan dari puncak tertinggi negara. 

“Terima kasih kepada anda semua yang memberi kepercayaan kepada produk-produk tempatan kita,” ujarnya.

Khairul Aming berkata, selepas produk terbaharunya habis dijual, beliau akan sambung menjual produk tempatan lain dalam siaran langsung selama tiga jam itu.

Beliau turut mengajak golongan muda supaya berani meletakkan impian besar, terus menimba ilmu dan tidak menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti mencuba.

Menurutnya, setiap pengalaman menjadi proses pembelajaran ke arah lebih baik.

"KA sendiri takut nak cuba. Takut kena judge, takut gagal, takut nak letak impian yang besar.

"Tapi saya tetap teruskan hari demi hari walaupun penat sekalipun,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved