Dari hobi cari makan, kini miliki kafe sendiri

StartupFood
19 Oct 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Dari hobi cari makan, kini miliki kafe sendiri

Dulu hobi mereka menunggang motosikal dan menikmati juadah di kedai makanan tular. Setiap minggu ada sahaja kedai yang disinggahi Noor Syuhada Md Yusof dan Shazren Shafiee.

Setelah puas menjelajah ke pelbagai destinasi dan mencuba aneka makanan dan kopi, pasangan suami isteri itu mula menyimpan cita-cita membuka kafe sendiri.

Rumah kebun di Kuala Kubu Bharu (KKB) menjadi pilihan. Rumah tersebut asalnya didiami pada hujung minggu sebelum dijadikan kafe pada tahun 2024.

Walau terpencil dan terpaksa meniti jambatan gantung merentasi Sungai Selangor, kafe itu dikunjungi lebih 400 pelanggan sehari. Mereka juga menggaji 14 pekerja, majoritinya anak tempatan KKB.

Pada peringkat awal, hanya ada dua pekerja membantu operasi. Namun kini majoriti pekerjanya dari kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ada juga yang bercuti semester.

Image from: Dari hobi cari makan, kini miliki kafe sendiri
Shazren Shafiee dan isterinya Noor Syuhada Mat Yusof melayan pelanggan di Cafe Kopi Kisar Kuala Kubu Bharu pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengenang semula detik-detik awal kafe tersebut mula dibuka, Noor Syuhada, 42, mengakui mereka bimbang jika kafe di ceruk kampung itu tidak mendapat sambutan.

“Awal-awal buka memang kami tertanya-tanya ada orang datang atau tidak sebab lokasi ini agak ke dalam. Kena meniti jambatan gantung lagi, kami fikir mungkin ada yang tak mahu datang.

“Tetapi semangat kena kuat, saya dan suami cuba buat promosi melalui TikTok dan Facebook. Dari situ sedikit demi sedikit orang mula tahu dan datang,” katanya kepada Media Selangor.

Kafe berkenaan yang dinamai Kopi Kisar Kebun juga sering disenarai sebagai salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi jika ke KKB.

Malah, kafe mereka menjadi pilihan pengunjung selepas melakukan rekreasi di situ antaranya mendaki Bukit Kutu, rakit redah jeram (white water rafting) dan luncur udara (paragliding).

Image from: Dari hobi cari makan, kini miliki kafe sendiri
Pelanggan melalui jambatan gantung untuk ke Cafe Kopi Kisar di Kuala Kubu Bharu pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Noor Syuhada, konsep kafe itu sejak awal lagi tidak tertumpu kepada kopi atau menu Barat semata-mata, sebaliknya menyediakan hidangan yang boleh dinikmati pelbagai peringkat umur.

“Kami memang fikir dari awal supaya semua generasi boleh makan, daripada ‘baby boomers’ (warga emas) sampai ke Gen Z boleh menikmati hidangan di sini.

“Jadi ada nasi, sup, nasi lemak, rendang, dendeng dan pelbagai pilihan lain. Kalau datang dengan keluarga pun semua orang boleh pilih makanan masing-masing,” katanya lagi.

Bagi ibu kepada empat anak itu yang dibesarkan di Hulu Selangor, mewujudkan lokasi pilihan pengunjung memberi kepuasan tersendiri kerana dapat melihat tempat kelahirannya kian dikenali masyarakat luar.

Beliau berharap lebih banyak perniagaan kecil diwujudkan yang menyediakan ruang ekonomi kepada anak muda agar mereka ada pilihan untuk bekerja dan mencari pendapatan di tempat sendiri.

“Saya membesar di sini. Lepas belajar di Melaka pun saya balik dan bekerja di sini. Bila ada peluang kerja dan perniagaan macam ini, sekurang-kurangnya anak muda ada ruang untuk bekerja sambil menunggu sambung belajar atau mencari pengalaman,” katanya.

Kini pada setiap hujung minggu, deruman motosikal, kenderaan menggantikan suasana sunyi di ceruk hulu KKB. Lebih menggembirakan mereka apabila ada pelanggan yang sanggup datang dari Perak, Johor dan Pahang. Petanda ekonomi di pekan itu semakin rancak.

Image from: Dari hobi cari makan, kini miliki kafe sendiri
Noor Syuhada Mat Yusof menyiapkan pesanan pelanggan di Cafe Kopi Kisar, Kuala Kubu Bharu pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved