
DI sebalik nama Dr Cute yang kini semakin kukuh dalam industri kecantikan tempatan, tersimpan sebuah perjalanan hidup yang bermula daripada ruang paling peribadi.
Sekitar tahun 2016 menjadi titik perubahan besar apabila beliau memilih untuk menjaga ibunya yang menghidap kanser.
Dalam tempoh itulah, pemilik nama sebenar, Dr Abdullah @ Maliq Alias berdepan realiti sebenar dunia penjagaan pesakit, daripada soal rawatan sehinggalah kepada pemilihan produk yang benar-benar selamat untuk digunakan.
Pengalaman itu membuka mata, sekali gus mengubah cara beliau melihat bidang perubatan dan kesihatan secara keseluruhan.
Daripada impian awal untuk bergelar pakar bius, perjalanan hidup membawa beliau ke arah yang berbeza tetapi lebih dekat dengan masyarakat.
Beliau mula membina klinik sendiri, sambil mendalami bidang kesihatan kulit dan kesejahteraan, sebelum timbul satu kesedaran yang semakin kuat tentang lambakan produk kecantikan di pasaran yang tidak semuanya melalui kawalan ketat.
Kesedaran yang timbul daripada pengalaman itu tidak berhenti setakat di klinik. Sebaliknya, ia berkembang menjadi satu misi peribadi untuk memahami dengan lebih mendalam dunia formulasi produk penjagaan diri.
Dari situlah Dr. Cute mula meneroka bidang pembangunan produk sendiri, dengan pendekatan yang lebih berhati-hati, berasaskan kajian serta rujukan klinikal.

Baginya, kecantikan tidak boleh dipisahkan daripada aspek keselamatan. Setiap formula perlu melalui proses yang teliti kerana ia bukan sekadar digunakan pada kulit, tetapi memberi kesan kepada kesihatan secara keseluruhan.
“Pengalaman menjaga ibu sendiri membuatkan saya lebih berhati-hati dalam melihat isu kesihatan dan kecantikan. Saya mula sedar, tidak semua yang berada di pasaran sesuai untuk semua orang,” ujarnya.
Daripada prinsip itu, lahirlah DC Skin, sebuah jenama yang dibina bukan sekadar atas dasar perniagaan, tetapi berteraskan nilai tanggungjawab terhadap pengguna.
Ia menjadi platform untuk beliau menyampaikan satu mesej jelas iaiatu kecantikan perlu selari dengan ilmu dan keselamatan, bukan sekadar trend atau hasil segera.
Seiring perjalanan masa, DC Skin berkembang secara konsisten. Kini memasuki usia enam tahun, jenama ini sudah menempatkan produk di rangkaian runcit utama, sekali gus membuka akses lebih luas kepada pengguna di seluruh negara.
Lebih 300 cawangan kini menawarkan produk di bawah jenama tersebut, satu pencapaian yang tidak datang sekelip mata.
Pengiktirafan antarabangsa
Dalam masa yang sama, DC Skin turut memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM, satu pengiktirafan penting yang memberi keyakinan tambahan kepada pengguna, khususnya dalam kalangan masyarakat yang semakin peka terhadap status dan kandungan produk yang digunakan.
Perjalanan yang bermula daripada sebuah pengalaman peribadi kini berkembang menjadi satu jenama yang lebih besar daripada sekadar produk kecantikan.
Ia membawa naratif tentang kesedaran, pendidikan pengguna dan tanggungjawab dalam industri yang semakin kompetitif.

Terbaharu, DC Skin mencipta satu lagi detik bermakna apabila menerima pengiktirafan di pentas antarabangsa The Asia Pacific International HONESTY, Book Of Records 2026 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut itu, jenama tersebut dinobatkan sebagai Super Health Brand, manakala Dr Cute diiktiraf sebagai Duta Kesihatan Asia Pasifik.
Bagi Dr Cute, pengiktirafan itu bukan titik akhir, sebaliknya satu amanah baharu untuk terus memperjuangkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Dedahnya, masih ramai yang terpengaruh dengan konsep kecantikan segera tanpa memahami asas keselamatan dan kesan jangka panjang.
“Syukur dengan pengiktirafan ini, tetapi bagi saya ia bukan penamat. Ia lebih kepada tanggungjawab untuk terus mendidik masyarakat tentang kepentingan memilih produk yang selamat dan berasaskan ilmu,” katanya lagi.






