Dari tangga ke-47, remaja Thailand kini ancam jaguh dunia

1 Nov 2026 • 7:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dari tangga ke-47, remaja Thailand kini ancam jaguh dunia
Marisa Tojai

SIAPA sangka pemain amatur berusia 17 tahun yang memulakan Maybank Championship 2026 di tangga ke-47 kini berpeluang mencabar kelompok terbaik dunia menjelang pusingan akhir di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Ahad.

Marisa Tojai dari Thailand mencetuskan antara kisah paling menarik kejohanan apabila melonjak ke kedudukan keempat bersama pemain Australia, Robyn Choi selepas mengumpul 14 bawah par 202 pukulan dalam tiga pusingan.

Pemain termuda kejohanan itu menghasilkan tujuh bawah par 65 pukulan buat hari kedua berturut-turut, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya empat pukulan di belakang pendahulu yang juga juara bertahan dari Jepun, Miyu Yamashita.

Lebih mengagumkan, Marisa yang layak menerusi ASEAN Qualifiers itu bangkit daripada permulaan sederhana dengan catatan par 72 pada Khamis sebelum menghasilkan dua pusingan cemerlang untuk mengatasi ramai pemain profesional berpengalaman.

Pada pusingan ketiga, pemain muda itu menghasilkan enam birdie dan satu eagle biarpun melakukan satu bogey untuk meneruskan peningkatan mendadaknya dalam saingan bertaraf Jelajah LPGA.

Marisa kini berpeluang memperbaiki pencapaian terbaik pemain amatur dalam sejarah kejohanan, iaitu kedudukan ke-12 yang diraih wakil Malaysia, Mirabel Ting pada 2024.

Sementara itu, Yamashita kekal mendahului dengan 18 bawah par 198 pukulan selepas mencatat lima bawah par 67 pada Sabtu.

Bagaimanapun, pemain nombor empat dunia itu bakal menerima tentangan sengit daripada Yan Liu dari China dan Pauline Roussin-Bouchard dari Perancis yang berkongsi kedudukan kedua dengan 16 bawah par 200 pukulan.

Liu melonjak daripada kedudukan ke-11 ke tangga kedua selepas menghasilkan sembilan bawah par 63 pukulan, termasuk eagle di lubang terakhir, untuk mencatat skor terendah pusingan ketiga.

Bagi cabaran Malaysia, Mirabel Ting muncul wakil terbaik negara di kedudukan ke-43 dengan empat bawah par selepas menghasilkan 69 pukulan, diikuti Natasha Andrea Oon di tangga ke-58 dan Liyana Durisic di kedudukan ke-61.

Ketika Yamashita memburu peluang mempertahankan gelaran, perjalanan Marisa daripada kelompok bawahan ke barisan pencabar utama memberikan dimensi berbeza kepada pusingan akhir kejohanan.

Tanpa pengalaman kemenangan profesional untuk dijadikan sandaran, remaja Thailand itu kini berdepan ujian terbesar dalam karier mudanya apabila turun bersama barisan pemain elit dunia bagi menentukan kedudukan akhir pada Ahad.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved