
Bagaikan bulan jatuh ke riba. Itulah gambaran paling tepat buat atlet karate negara, Adeola Fay Robert, yang pulang dari Jepun dengan kejayaan luar jangka selepas mencipta sensasi menerusi pingat emas acara kumite bawah 55 kilogram wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Turun tanpa status pilihan utama, malah tidak tersenarai sebagai antara atlet tumpuan, Adeola membuktikan reputasi bukan segala-galanya apabila mempamerkan aksi cukup meyakinkan di atas tatami untuk menewaskan pencabar lebih ternama.
Lebih manis, kejayaan itu hadir menerusi penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia, sekali gus menjadikan pingat emas berkenaan antara pencapaian paling bermakna dalam perjalanan kariernya.
“Saya hanya meletakkan sasaran untuk melakukan terbaik sebaik membuat penampilan di Sukan Asia, saya tidak menyangka penampilan pertama membuahkan kejayaan yang cukup manis dengan meraih pingat emas untuk Malaysia.
“Untuk 2027, saya mahu meningkatkan lagi prestasi yang telah diraih tahun ini, serta meletakkan sasaran tinggi menghadapi Sukan SEA 2027 nanti,” katanya.
Kejayaan Adeola bukan sahaja mengangkat namanya sebagai antara wira kontinjen negara di Aichi-Nagoya, malah membawa pulangan lumayan menerusi insentif kemenangan.
Pingat emas itu melayakkan beliau menerima ganjaran RM80,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain sebuah kenderaan elektrik Proton e.MAS bernilai RM60,000 sebagai insentif daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).
Ganjaran berkenaan pastinya menjadi satu lagi detik manis buat atlet yang sebelum ini hadir tanpa tekanan sebagai pilihan utama, tetapi akhirnya pulang dengan kejayaan yang cukup besar.
Namun, bagi Adeola, pencapaian di Jepun bukan titik noktah.
Sebaliknya, pingat emas Sukan Asia itu menjadi pemangkin untuk terus memperbaiki prestasi, meningkatkan kemampuan dan memburu sasaran lebih tinggi menjelang Sukan SEA 2027.
Daripada seorang underdog yang tidak diberi perhatian meluas, Adeola kini muncul sebagai pemilik pingat emas Sukan Asia -- membuktikan bahawa peluang untuk mencipta kejutan sentiasa terbuka buat mereka yang berani memberikan segala-galanya di gelanggang.






