Pelawak, Jep atau nama penuhnya Mohd Nadzri Zainal Abidin baru-baru ini meluahkan rasa kecewanya terhadap rakan pelawak dan juga usahawan, Shuib yang didakwa masih ‘menunggang’ dan memainkan sentimen persahabatan dalam kandungan podcast yang disiarkan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Jep turut menyifatkan sudah muak dengan isu berkenaan.
Dah muak dengan isu sentimen persahabatan, kongsi tangkap layar perbualan dan permohonan maaf ketika Hari Raya
Dia dalam hantaran itu turut berkongsi tangkap layar memaparkan perbualan WhatsApp yang tidak di balas oleh Shuib sejak tahun 2022.
Dalam perbualan itu pada Mac 2026, kelihatan Jep turut ada mengucapkan Selamat Hari Raya serta memohon maaf sekiranya ada salah silap sepanjang mereka berkenalan.

“Aku dah minta maaf walaupun macam-macam dah kau buat dekat aku. Aku dah tersangat muak dengan isu ini.
“Aku tak kisah pun kau tak balas WhatsApp aku tapi janganlah depan awam kau wayang kononnya kau lah yang terpaling mulia dalam bersahabat. Mungkin kau risau kot kalau isu ini selesai dah tak ada pula isu kau nak mainkan.
“Teringat dulu kau pernah cakap ‘bad publicity is still publicity,'” luahnya.
Tak peduli dengan sebarang publisiti dan soal mengenai bayaran kumpulan seperti yang ada dikatakan dalam podcast
Pelawak itu turut tegas mengingatkan bahawa dia tidak peduli dengan sebarang publisiti serta menyifatkan tidak memahami permainan yang cuba dimainkan.
Selain itu Jep turut menyentuh mengenai isu agihan bayaran serta berkongsi satu klip podcast memaparkan Shuib dan rakan pengacaranya, Mamat ada memberikan contoh situasi mengenai pembahagian bayaran kumpulan pelawak di luar negara.
Minta jelaskan mengenai isu bayaran jika ada berlaku
“Sudah-sudah lah main sentimen persahabatan untuk kau punya marketing. Game apa sebenarnya yang kau nak main ni? Ke kau tengah khayal? Lagi satu Rahim ada tunjuk video podcast, kau cakap pasal payment (bayaran) untuk kumpulan.
“Kita tak pernah runding bayaran untuk kumpulan. Dari dulu semuanya deal (bincang) individu. Kalau betul memang ada cerita pasal bayaran tu, gentle sebut lah nama, senang sikit aku nak hantar LOD (Letter Of Demand).
“Jangan berkias-kias dekat podcast dan try hard (mencuba) buat orang bersangka buruk untuk benci aku. Aku dah biasa kotorkan tangan untuk pastikan hasilnya bersih daripada mencuci duit nak nampakkan dia bersih,” katanya.
Jep minta jangan ganggunya kerana sibuk besarkan dua anak syurga
Jep turut menyifatkan dia sangat menjaga sumber pendapatan yang diperoleh serta memberikan pesanan kepada Shuib untuk tidak mengganggunya yang sedang sibuk memberikan perhatian membesarkan dua anak syurganya.
“Daripada kau buat fitnah tak sudah, lebih baik kau uruskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) orang yang kau dah potong tapi tak bayar. Aku bukan jenis yang makan hak orang bro. Insha-Allah aku sangat jaga sumber yang aku dapat.
“Aku ingat jual air jualan RM150 juta dah boleh hidup tenang dah. Macam-macam orang dah kau kumpul dekat podcast kau untuk burukkan aku, tu pun masih tak tenang ke? Ya kau orang baik, aku orang jahat. Pergilah selamatkan diri kau.
“Pesnan terakhir aku jangan ganggu akuu yang tengah sibk beri perhatian besarkan dua anak syurga aku. Kalau hidup kau tak tenang itu kau punya pasal. Jangan ganggu hidup orang lain. Jangan asyik burukkan orang untuk tutup pekong kau.”
Dalam pada itu, Shuib memilih untuk tidak memberikan sebarang respon ketika diminta untuk mengulas luahan yang diutarakan oleh Jep yang juga bekas rakan sekumpulannya dalam Sepahtu itu.
“Saya tak nak cakap apa-apa. Terima kasih,” katanya, dipetik mStar.
Namun menurut Shuib, dia sudah pun membaca hantaran tular tersebut selepas menerimanya daripada seorang rakan.
View this post on Instagram






