Dasar Tribunal Anti-Buli dibentang kepada Kabinet

LocalPolitics
24 Oct 2025 • 4:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mangsa buli bakal mempunyai satu lagi saluran untuk mendapatkan keadilan melalui Tribunal Anti-Buli, yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini (Jumaat) sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani kes buli di sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebaik sahaja Kabinet bersetuju dengan kerangka dasar tersebut, langkah seterusnya ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli.

“Tribunal Anti-Buli yang dicadangkan ini bertujuan mempercepatkan pengendalian kes buli dan menyediakan saluran penyelesaian yang lebih pantas serta berpusat kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata tribunal itu akan berfungsi sebagai badan kuasi-kehakiman yang memberi tumpuan kepada hal sivil sahaja, tanpa bertindih dengan prosiding jenayah bagi kes yang mempunyai unsur jenayah.

“Perundangan sahaja tidak mencukupi. Oleh itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri kini sedang meneliti RUU Anti-Buli, termasuk penubuhan tribunal bagi mengendalikan aduan melibatkan individu rentan di bawah umur 18 tahun,” katanya.

Azalina berkata sistem itu direka supaya berfungsi secara tersendiri, kerana setiap institusi — sama ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Mara atau Kementerian Pertahanan — sudah mempunyai mekanisme tatatertib masing-masing.

“Undang-undang yang dicadangkan ini tidak akan mengganggu sistem sedia ada. Berdasarkan kerangka tersebut, tribunal akan berperanan apabila seseorang individu tidak berpuas hati dengan keputusan dalaman atau ingin menuntut penyelesaian sivil seperti pampasan atau permohonan maaf.

“Pendekatan ini bukan sekadar bersifat menghukum, tetapi juga pendidikan dan pemulihan, sejajar dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang melindungi hak, privasi dan akses kanak-kanak kepada bantuan guaman, di samping memastikan akauntabiliti terhadap kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi town hall Tribunal Anti-Buli #GenerasiTanpaBuli (Siri Sabah) bersama wakil BHEUU, KPM, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Rani Alias, Setiausaha Persekutuan Sabah dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Dr Farah Nini binti Dusuki, di sini, Khamis.

Azalina berkata kes buli yang mempunyai unsur jenayah masih akan disiasat polis dan dibicarakan di mahkamah, manakala tribunal hanya akan mengendalikan tuntutan sivil.

“Sebagai contoh, terdapat satu kes buli di mana mangsa mengambil masa tujuh hingga sembilan tahun untuk mendapatkan pampasan sebanyak RM600,000.

“Jika tribunal ini sudah wujud, kes itu boleh diselesaikan dalam tempoh setahun — mungkin antara 60 hingga 90 hari.

“Proses tribunal ini hampir sama dengan Tribunal Gangguan Seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, yang beroperasi dalam tempoh 90 hari sebelum mengeluarkan keputusan.

“Oleh itu, kami berharap Tribunal Anti-Buli ini juga dapat melaksanakan proses yang sama — lebih cepat, dalam tempoh 60 atau 90 hari bagi kes sivil,” katanya.

Menjawab soalan, beliau menjelaskan tribunal itu tidak akan mengenakan hukuman penjara, kerana unsur jenayah kekal di bawah bidang kuasa polis dan mahkamah jenayah.

“Tribunal hanya boleh mengenakan denda, mengarahkan pampasan dibayar atau memerintahkan permohonan maaf. Hukuman penjara kekal di bawah bidang kuasa mahkamah jenayah,” katanya.

Azalina turut menjelaskan bahawa Akta Anti-Buli yang bakal diperkenalkan akan mentakrifkan maksud buli secara menyeluruh, merangkumi pelbagai bentuk perlakuan dan bukan hanya terhad kepada sekolah, termasuk bagi individu di bawah umur 18 tahun yang tidak bersekolah.

Katanya, mangsa buli berumur 18 tahun ke atas juga akan diberi perhatian dalam fasa seterusnya. Beliau berkata sesi libat urus awam yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah menunjukkan maklum balas positif daripada pendidik, ibu bapa, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tindak balas amat positif. Orang ramai faham bahawa tribunal ini menilai dari semua sudut — mangsa, pelaku dan sistem — tidak seperti proses mahkamah yang panjang dan sering melemahkan semangat mangsa untuk menuntut keadilan,” katanya.