Datuk Faiz Ishak dilantik sebagai Pengerusi baharu Ranhill

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2025 • 5:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Datuk Faiz Ishak dilantik sebagai Pengerusi baharu Ranhill

image is not available

11/09/2025 - 17:29

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept – Ranhill Utilities Bhd melantik Datuk Faiz Ishak sebagai pengerusi baharu syarikat untuk mengisi jawatan yang kosong lebih setahun sejak pengunduran pengasasnya, Tan Sri Hamdan Mohamad pada Ogos 2024.

Hamdan yang mengetuai Ranhill sejak pengambilalihan status penyenaraian Symphony House Bhd pada Disember 2015, melepaskan jawatan sejurus YTL Power International Bhd bersama anak syarikatnya SIPP Power Sdn Bhd menamatkan tawaran am mandatori (MGO) terhadap Ranhill pada Julai 2024.

Melalui MGO tersebut, YTL Power dan SIPP berjaya menguasai 53.19% kepentingan dalam syarikat utiliti berpangkalan di Johor itu.

Tindakan tersebut dibuat selepas YTL Power muncul sebagai pemegang saham besar pada hujung 2023 dengan pembelian hampir 19% pegangan bernilai RM140 juta.

Pengambilalihan itu menyaksikan rombakan besar dalam lembaga pengarah Ranhill dengan lima pengarah baharu dilantik pada Ogos tahun lalu, termasuk Yeoh Keong Yeen dan Yeoh Keong Yuan sebagai Pengarah Eksekutif.

Kedua-dua mereka merupakan cucu kepada Puan Sri Tan Kai Yong @ Tan Kay Neong, balu kepada pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Yeoh Tiong Lay.

Selain Hamdan, beberapa pengarah kanan lain turut berundur daripada lembaga termasuk Datuk Seri Panglima Lim Haw Kuang, Zurina Abdul Rahim, serta anak perempuan Hamdan iaitu Imaan Aiysha Hamdan yang ketika itu berperanan sebagai Pengarah Bebas.

Faiz, 67, menyertai Lembaga Pengarah Ranhill sejak Ogos 2024. Beliau merupakan ahli berdaftar Persatuan Akauntan Bertauliah Bertaftar (ACCA) dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah di Transocean Holdings Bhd, YTL Corporation Bhd serta YTL Power.

Pelantikan beliau sebagai Pengerusi menandakan kesinambungan strategi baharu Ranhill di bawah penguasaan pemegang saham utama dari kumpulan YTL.

Ketika ini, Ranhill melalui anak syarikatnya Ranhill SAJ Sdn Bhd kekal sebagai operator tunggal perkhidmatan air di Johor.

Berdasarkan laporan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM17.77 juta bagi suku April-Jun 2025, lebih dua kali ganda berbanding RM6.94 juta pada suku sebelumnya.

Prestasi tersebut didorong permintaan kukuh terhadap bekalan air, dengan prospek lebih cerah apabila wujud projek pemangkin termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta Zon Kewangan Khas yang dijangka meningkatkan lagi permintaan.

Selain itu, pembangunan pusat data di rantau ini turut menjadi faktor utama yang bakal menyokong pertumbuhan perniagaan Ranhill pada masa depan.- DagangNews.com

standard