
DUNGUN – Keluarga Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, yang maut akibat renjatan elektrik berdepan ujian bertimpa apabila datuk anggota polis itu pula meninggal dunia enam jam selepas proses pengebumian selesai.
Bapa Muhammad Raimi, Ismarubee Ismail, 51, berkata, bapa tirinya, Harun Awang Ngah, 70, meninggal dunia di rumah keluarganya di Felda Kerteh 5, di sini pada pukul 7.15 pagi tadi.
“Arwah ayah yang disahkan mengidap kanser limfoma sejak tiga bulan lalu menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ibu saya, Mek Wok Yahya dan ahli keluarga.
“Keadaan kesihatan arwah mula merosot sejak dua minggu lalu. Belum hilang kesedihan kerana kehilangan Raimi, bapa tiri saya pula meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 5, di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa saudara Muhammad Raimi, Hazrul Harun, 40, memberitahu, bapanya mengalirkan air mata selepas dimaklumkan tentang kematian Muhammad Raimi kelmarin.
“Pertuturan ayah tidak begitu jelas tetapi air matanya mengalir kerana kehilangan cucu tersayang,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Muhammad Raimi bersama dua rakannya, Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Koperal Muhamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston, di Beaufort, Sabah Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Datuk ‘pergi’ selepas enam jam pengebumian Konstabel Raimi appeared first on Kosmo Digital.






