
DUNGUN: Ujian berganda menimpa keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik, apabila datuknya pula meninggal dunia, iaitu selepas enam jam jenazahnya dikebumikan.
Bapa Allahyarham, Ismarubee Ismail, 51, berkata, bapa tirinya iaitu Harun Awang Ngah, 70, menghembuskan nafas terakhirnya di samping ibunya, Mek Wok Yahya, 76, dan ahli keluarganya kira-kira pukul 7.15 pagi ini di kediaman keluarganya di Felda Kerteh 5, di sini.
Katanya, bapanya itu disahkan menghidap kanser limfoma sejak tiga bulan lalu dan keadaan kesihatannya merosot sejak dua minggu lalu.
“Kami diuji sekali lagi hari ini. Belum lagi hilang kesedihan kehilangan anak, hari ini bapa saya pula meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 5, di sini, hari ini.
Ismarubee berkata, Muhammad Raimi, 24, sangat rapat dengan datuknya dan sentiasa bertanya khabar mengenai kesihatannya.
“Semasa Allahyarham Muhammad Raimi menamatkan latihan dan dilantik menjadi anggota polis pada September 2024, arwah ayah saya paling gembira dan berbangga dengan pencapaian cucunya itu.
“Ujian ini agak berat untuk diterima, apatah lagi saya hilang anak dan ayah dalam tempoh yang dekat. Bagaimanapun, kami reda dengan pemergian kedua-dua insan kesayangan kami,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Muhammad Raimi selamat dikebumikan kira-kira pukul 1.15 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 2.
Harun pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 5, kira-kira pukul 3.10 petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang pada Khamis lalu, Muhammad Raimi bersama dua rakannya iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Koperal Muhamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston, di Beaufort, Sabah. – UTUSAN
The post Enam jam selepas Konstabel Muhammad Raimi dikebumi, datuknya pula ‘pergi’ appeared first on Utusan Malaysia.






