johardy24/09/2026 - 18:42 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept - Infomina Berhad menerima surat tawaran bernilai RM62.6 juta untuk membekalkan keperluan pembaharuan teknologi dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kepada sebuah institusi kewangan di Malaysia.
Syarikat itu menandatangani dan menerima surat tawaran berkenaan pada 24 September, menurut pengumumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Infomina tidak menamakan institusi kewangan tersebut. Menurut Infomina, pelanggannya tidak memberikan persetujuan untuk nama institusi didedahkan atas sebab komersial.
Nilai keseluruhan tawaran itu ialah RM62,645,558.36, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan, bagi sepanjang tempohnya.
Tempoh tawaran itu ialah 69 bulan, bermula 1 Oktober 2026 hingga 30 Jun 2032.
Skop kerja merangkumi pembekalan dan penghantaran perkakasan, peralatan, perisian serta barangan lain yang dinyatakan dalam surat tawaran.
Turut meliputi sokongan dan penyelenggaraan
Infomina juga akan melaksanakan kerja pemasangan, konfigurasi, integrasi, pengujian, pentauliahan dan pelaksanaan.
Perkhidmatan sokongan, penyelenggaraan serta kerja lain yang berkaitan turut termasuk dalam skop yang ditetapkan melalui surat tawaran dan permintaan cadangan pelanggan.
Sebarang pembaharuan atau lanjutan selepas 30 Jun 2032 tertakluk pada budi bicara institusi kewangan itu, kata Infomina.
Syarikat itu menjangkakan tawaran berkenaan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempohnya. Menurut Infomina, faktor risiko yang berkaitan adalah sama seperti risiko yang sedang dihadapinya.
Infomina turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka memiliki kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tawaran itu. - DagangNews.com






