
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah membaiki sebuah longkang di bahagian belakang kawasan perumahan di Likas manakala Majlis Perbandaran Penampang (MPP) sedang mengatur tindakan untuk membaiki bahagian laluan pejalan kaki yang rosak di sebuah pusat komersial di daerah berkenaan yang dibina di atas longkang.
Tindakan terbabit diambil susulan maklum balas daripada seorang pembayar cukai di Taman Likas Jaya dan seorang pemilik kedai di Pusat Perindustrian Towering berhubung kekurangan penyelenggaraan terhadap infrastruktur berkenaan.
Pembayar cukai tersebut mengadu mengenai bau busuk yang datang dari longkang di belakang rumahnya di Lorong Burung Kenari 5.
Beliau mengesyaki aliran air di dalam longkang tersebut telah terhalang di kawasan yang dinding longkangnya telah runtuh sekali gus menyebabkan air limpahan menjadi bertakung.
Sementara itu seorang peniaga di Penampang pula membangkitkan isu keselamatan pejalan kaki di kawasan Pusat Perindustrian Towering apabila beberapa bahagian laluan pejalan kaki didapati rosak, dengan kepingan simen ada yang runtuh dan hilang.
Kedua-dua aduan berkenaan telah disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan melalui saluran Hotline untuk tindakan lanjut.
Jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan di longkang awam di belakang Lorong Burung Kenari 5 beberapa hari selepas aduan diterima.
“Petugas kami mengesahkan bahawa sebahagian dinding konkrit telah rosak dan terbonjol sehingga menghalang laluan aliran air.
“Empat juruteknik kami kembali beberapa minggu kemudian untuk membaiki bahagian longkang yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata tiada jadual penyelenggaraan tetap bagi kemudahan tersebut.
“Sebaliknya aset kami diselenggara apabila perlu,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau berkata pihak agensi telah mengarahkan kakitangannya supaya mempertingkatkan pemeriksaan terhadap keadaan longkang di sekitar Likas dan mengambil tindakan sewajarnya apabila diperlukan.
Seorang jurucakap DBKK bagi Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya (UCD) berkata pihaknya turut mengarahkan kakitangan untuk memberi perhatian terhadap aduan bau busuk berkenaan.
Beliau berkata Unit Saliran jabatan itu telah menangani longkang awam di belakang Lorong Burung Kenari 5B sejurus selepas jabatan tersebut dihubungi oleh pihak media.
“Sepuluh pekerja kami menggunakan cangkul untuk mengorek mendapan dan membersihkan rumput yang tumbuh di dalam struktur tersebut.
“Mereka turut mengeluarkan timbunan daun kering yang menghalang aliran air,” Jelasnya.
Beliau berkata sebuah lori seberat empat tan turut digunakan bagi memudahkan kerja-kerja pengangkutan sisa dan mendapan keluar dari lokasi.
“Unit berkenaan telah diarahkan untuk memantau keadaan longkang belakang rumah di kawasan kejiranan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang sekatan dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Jurucakap itu berkata kakitangannya mendapati air bertakung sedalam sehingga dua kaki di dalam longkang berkenaan ketika pemeriksaan awal dijalankan.
“Mereka berpendapat bahawa mendapan tanah yang berlaku selama beberapa tahun mungkin telah menjejaskan kecerunan struktur tersebut,” tambahnya.
Beliau berkata Jabatan Kejuruteraan telah dimaklumkan mengenai pemerhatian itu.
“Rakan-rakan di bahagian kejuruteraan akan menilai kaedah terbaik untuk memperbaiki aliran air dalam longkang tersebut. Mereka juga perlu menentukan sama ada struktur itu dan yang lain di Taman Likas Jaya perlu dinaik taraf,” katanya.
Dalam kes Pusat Perindustrian Towering, Majlis Perbandaran sedang dalam proses menyediakan cadangan bagi membaik pulih laluan pejalan kaki di sekitar kawasan tersebut.
Seorang jurucakap majlis berkata satu Bill of Quantities (BQ) sedang disediakan untuk tujuan berkenaan.
“Selepas kami memperoleh peruntukan yang diperlukan, satu tender akan dibuka supaya kontraktor dapat dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan.
“Kami secara anggaran berharap kerja-kerja membaik pulih laluan lima kaki itu dapat dimulakan pada penghujung tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata pemeriksaan awal telah dijalankan ke atas beberapa blok kedai di pusat perindustrian berkenaan.
“Kakitangan Bahagian Kejuruteraan mengesahkan terdapat ‘lubang’ di banyak bahagian laluan pejalan kaki di sekitar bangunan tersebut.
“Sebahagian individu prihatin telah meletakkan palet kayu serta kepingan logam atau papan lapis di kawasan berbahaya itu bagi mengelakkan pejalan kaki daripada tercedera,” maklumnya.

.jpg)



