Kaki lima kedai pun disewa kepada orang asing

26 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kaki lima kedai pun disewa kepada orang asing

KUALA LUMPUR – Kebanjiran penjaja warga asing di kaki lima kawasan sekitar Pasar Borong Selayang berlaku ekoran tindakan pemilik premis yang menyewakan ruangan hadapan kedai masing-masing.

Perkara itu didedahkan seorang peniaga yang memaklumkan tindakan menyewakan ruang kaki lima kepada warga asing te­lah berlarutan sejak bertahun-tahun dulu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, aktiviti perniagaan di kawasan itu dimonopoli warga asing dipercayai berasal dari Myanmar dan Bangladesh yang menjual antaranya sayur-sayuran, sirih dan makanan.

Mereka hanya memerlukan meja untuk meletakkan barangan jualan dan kerusi dengan aktiviti berkenaan difahamkan lebih ‘meriah’ pada waktu malam apabila kebanyakan premis perniagaan sudah ditutup.

Seorang peniaga tempatan yang mahu dikenali sebagai Kak Mah mendakwa, beberapa pemilik premis bertindak menyewakan ­ruang kaki lima kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan.

“Ramai juga peniaga di sini yang sewakan kaki lima kepada penduduk di sini untuk mereka berniaga. Kita yang berniaga di kedai ini memang susah hendak lawan harga mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai kadar sewa tapak, mereka enggan mendedahkannya, namun me­ngakui aktiviti perniagaan ber­kenaan sering berdepan tindakan pihak berkuasa.

Peniaga tempatan lain yang mahu dikenali sebagai Ali, 50, dan telah lebih enam tahun berniaga mendakwa, tindakan warga asing memonopoli premis perniagaan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita bukan tak mahu mereka (warga asing) berniaga, tetapi kalau terlalu ramai dan kita pula tak mampu bersaing. Sekarang memang sudah tak ramai peniaga tempatan di sini. Kebanyakan perniagaan sudah disewa atau dimiliki peniaga asing.

“Kalau tanya 10 orang, mungkin 10 cerita berbeza, tetapi bagi saya memang paling banyak sekarang warga asing,” katanya.

Ali mendakwa, terdapat juga premis yang disewa kepada warga asing, menyebabkan peniaga tempatan semakin kurang kelihatan di kawasan berkenaan.

“Dulu ada, tetapi sekarang makin kurang. Kebanyakan kedai, kita tengok orang lain yang jaga. Ada juga yang pemiliknya tempatan tetapi pekerjanya warga asing. Sekarang ini, warga ­asing yang jadi ‘tauke’ pun ramai,” jelasnya.

Menurutnya, masalah tersebut sudah berlarutan sejak bertahun dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan dilihat hanya memberi kesan sementara apabila peniaga menutup premis atau menyembunyikan aktiviti ketika operasi dijalankan.

“Kalau ada operasi, baguslah. Bila operasi masuk, mereka (warga asing) lari, sorok sana, sorok sini. Kedai tutup. Lepas sehari dua, mereka buka balik. Macam itu yang kita tengok,” ujarnya.

Seterusnya Ali mendakwa, dominasi penjaja asing tersebut turut memberi tekanan kepada peniaga tempatan khususnya daripada segi persaingan harga.

“Barang sama, tetapi kalau tak periksa betul-betul, kualitinya mungkin berbeza. Contohnya kita jual RM1.50, mereka boleh jual sekitar 80 sen tetapi kita tahu barangan yang mereka letak itu sebenarnya kualiti rendah,” ujarnya.

Difahamkan, kebanyakan da­ripada peniaga warga asing mendapatkan barangan seperti sayur, daging dan sebagainya di Pasar Borong Kuala Lumpur yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi berkenaan.

Seorang wanita warga Mya­nmar, Chitomah, 40-an, berkata, dia terpaksa berniaga sayur di kaki lima bagi menyara kehidupan sembilan anaknya.

“Ada hari saya dapat RM50, ada hari langsung tiada jualan. Duit yang dapat ini pun tidak cukup untuk menampung ke­perluan anak-anak. Kalau nasib tidak baik, pihak berkuasa da­tang dan rampas semua barang jualan,” katanya.

The post Kaki lima kedai pun disewa kepada orang asing appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved