DBKL kaji pengecaman wajah AI banteras peniaga asing di Pasar Borong - Dewan Rakyat dimaklumkan

LocalTechnology
4 Nov 2026 • 2:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DBKL kaji pengecaman wajah AI banteras peniaga asing di Pasar Borong - Dewan Rakyat dimaklumkan Image from: DBKL kaji pengecaman wajah AI banteras peniaga asing di Pasar Borong - Dewan Rakyat dimaklumkan amree04/11/2026 - 14:51 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov — Teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk sistem pengecaman wajah masih dikaji bagi mengenal pasti pemegang lesen perniagaan sah serta membendung kegiatan peniaga warga asing yang beroperasi tanpa kebenaran di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Rui berkata, penggunaan teknologi itu merupakan antara langkah penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan bagi menangani isu penyalahgunaan lesen perniagaan yang berlarutan di kawasan berkenaan.

 

Menurut beliau, sistem itu bertujuan membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mudah mengenal pasti individu yang menjalankan perniagaan sama ada pemegang lesen sah atau sebaliknya, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan lesen dan pelanggaran peraturan perniagaan.

 

"Pihak DBKL memandang serius isu berkenaan kerana kemunculan peniaga tidak dibenarkan bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan akibat persaingan tidak adil, malah menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan, tadbir urus bandar dan pematuhan undang-undang," tambahnya.

 

Su Rui berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat mengenai usaha kerajaan membendung penyalahgunaan lesen perniagaan dan penglibatan peniaga warga asing tanpa kebenaran di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.

 

Di samping itu ujarnya, bagi menangani masalah tersebut, DBKL sudah pun melaksanakan pelbagai langkah penguatkuasaan termasuk menerusi KL Strike Force yang menggabungkan beberapa agensi penguat kuasa bagi menyelaraskan operasi secara bersepadu di sekitar kawasan berkenaan.

 

DBKL_DagangNews2026

 

Jelas beliau, setakat 31 Oktober 2026, DBKL sudah melaksanakan sebanyak 11 operasi penguatkuasaan khas dan tujuh operasi dilaksanakan bersepadu bersama-sama pelbagai agensi berkaitan di sekitar Pusat Bandar Utara.

 

"Hasil operasi itu, sebanyak 403 notis am, 2,182 notis trafik, 934 tindakan sitaan dan tiga perintah penutupan premis telah dikeluarkan terhadap pihak yang melanggar syarat lesen atau menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran," kata Su Rui.

 

Bagaimanapun, beliau menambah isu itu masih belum lagi dapat diselesaikan sepenuhnya berikutan bidang kuasa DBKL yang terhad kepada penguatkuasaan aktiviti perniagaan dan penjajaan sahaja.

 

Beliau menjelaskan, sebahagian besar warga asing yang terlibat merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sekali gus menyebabkan DBKL tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka.

 

Tindakan sedemikian, katanya, terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), sekali gus menyebabkan individu yang dikenakan tindakan penguatkuasaan berkemungkinan kembali menjalankan aktiviti perniagaan selepas operasi selesai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved