
KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan terus diperkukuh dalam usaha meningkatkan kesejahteraan serta perkembangan kanak-kanak di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat wakil baharu UNICEF ke Malaysia, Robert Gass, hari ini.
Menurutnya, pertemuan tersebut memberi tumpuan khusus kepada usaha memajukan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) serta Asuh KL.
“Berbesar hati dapat menerima kunjungan hormat wakil baharu UNICEF ke Malaysia, Encik Robert Gass, hari ini.
“Kami telah mengadakan perbincangan yang cukup produktif mengenai pengukuhan kerjasama antara pihak kita, terutamanya dalam memajukan CFCI dan Asuh KL,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Hannah berkata, komitmen itu penting bagi memastikan usaha meningkatkan kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak di Kuala Lumpur dapat terus diperkasakan.
“Kami komited untuk terus bekerjasama bagi meningkatkan kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak di Kuala Lumpur.
“Saya menantikan kerjasama yang lebih berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post DBKL perkukuh kerjasama dengan UNICEF, fokus bandar mesra kanak-kanak appeared first on Kosmo Digital.






