
PETALING JAYA – Masa depan tanah serta pemilikan di Kampung Baru tidak boleh ditentukan sesuka hati oleh seorang menteri dan segala kebimbangan mesti dijawab dengan fakta, juga undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata, sebarang keputusan harus berlandaskan Seksyen 14(4) Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) 2011.
Beliau berkata, akta berkenaan mewajibkan Perbadanan PKB supaya melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu.
“Saya faham kebimbangan penduduk Kampung Baru tentang masa depan tanah, pemilikan dan kepentingan orang Melayu. Bagi banyak keluarga, tanah di sini bukan hartanah biasa. Ia pusaka turun-temurun.
“Semasa menyerahkan watikah kepada Anggota Perbadanan dan Majlis Penasihat PKB, saya tegaskan PKB bukan sekadar mengurus pembangunan, tetapi perlu menyelaras, memudah cara, mengawal selia dan menggerakkan pembangunan semula Kampung Baru.
“Saya mahu penduduk Kampung Baru dengar sendiri daripada saya. Siapa pun menterinya, perlindungan ini mesti dihormati,” katanya di media sosial, semalam.
Selain itu, beliau juga meminta PKB dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meneliti kemungkinan geran khas dalam bajet tahun hadapan untuk menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur di Kampung Baru supaya identiti, sejarah dan warisan Melayu terus dipelihara.
“Kepentingan orang Melayu kita lindungi. Kita mahu ekonominya berkembang, kemudahan awam bertambah baik dan lebih banyak peluang dibuka kepada pemilik tanah, pewaris serta generasi muda.
“Anak-anak Kampung Baru mesti mewarisi pusaka yang terpelihara dan masa depan yang lebih baik. Kampung Baru boleh maju tanpa kehilangan jati diri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINEk
The post Siapa pun menterinya, perlindungan Kampung Baru mesti dihormati – Hannah Yeoh appeared first on Kosmo Digital.






