DBKL roboh 17 struktur penjaja haram PPR Jelatek

4 Nov 2024 • 3:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Struktur penjaja haram dirobohkan DBKL dalam operasi penguatkuasaan pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 struktur penjaja haram di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek dirobohkan menerusi operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan itu dijalankan bagi mengelak aktiviti itu daripada terus berleluasa.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan memastikan imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya teratur dan bersih terus terpelihara.

"Aktiviti penjajaan haram yang semakin bertambah ini bukan sahaja memberikan imej negatif kepada persekitaran, malah mengganggu lalu lintas, utiliti awam dan menjejaskan kebersihan.

"DBKL tidak akan bertolak ansur terhadap pihak yang mementingkan diri sendiri, membina struktur secara haram hingga mencetuskan pelbagai masalah kepada penduduk," katanya pada Isnin.

DBKL memaklumkan, operasi perobohan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor setelah notis pengosongan selama 14 hari diberikan kepada penjaja haram terlibat.

Katanya, DBKL juga telah mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Penduduk PPR Jelatek dan beberapa siri bancian bagi mengenal pasti penjaja tidak aktif.

"DBKL ingin menegaskan bahawa sebarang struktur penjaja haram di kawasan PPR akan terus dibendung bagi mengelakkan pencerobohan berulang dan memastikan kawasan perumahan selesa untuk didiami.

"DBKL akan terus komited dalam usaha menguatkuasakan undang-undang dan memastikan kesejahteraan bandar raya Kuala Lumpur terpelihara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved