Dedah status sebenar UiTM Holdings

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dedah status sebenar UiTM Holdings

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius polemik terbaharu mengenai kerugian UiTM Holdings Sdn. Bhd. dan menggesa semua pihak membezakan antara fakta tadbir urus, proses pemulihan dan percaturan politik.

Pertama, kerugian RM157.04 juta yang diperkatakan bukan kerugian baharu. Ia merujuk kepada kerugian sebelum cukai bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021. Pengerusi UiTM Holdings, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, yang mengambil alih pada Ogos 2025, turut menjelaskan bahawa kepimpinan semasa sedang melaksanakan pelan pemulihan.

Kedua, perkara ini telah melalui penelitian institusi negara. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan mengenai UiTM Holdings pada 18 Mac 2024.

Dalam tindakan susulan, PAC mengakui beberapa penambahbaikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UiTM, tetapi turut menyifatkan Pelan Strategik 10 Tahun UiTM Holdings sebagai terlalu optimistik dan perlu disesuaikan dengan cabaran sebenar.

Persoalan lebih penting ialah: Apakah status pelaksanaan syor PAC selepas lebih dua tahun? Apakah hasil penyusunan semula yang telah dilakukan KPT? Apakah prestasi kewangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) UiTM Holdings sekarang?

Pada masa sama, SPRM mengesahkan siasatan yang bermula pada 2023 masih berjalan, termasuk berkaitan projek solar 50MW di Gambang dan pembayaran RM42 juta yang dilaporkan dibuat bagi tujuan tidak berkaitan projek serta tanpa kelulusan lembaga. Siasatan itu belum menentukan kesalahan mana-mana pihak.

UiTM bukan milik mana-mana parti politik. Ia institusi pendidikan negara dan amanah besar masyarakat Bumiputera.

Jangan jadikan UiTM medan pertarungan politik. Tetapi jangan pula gunakan alasan “isu legasi” untuk menutup tuntutan akauntabiliti.

Buka fakta. Bentangkan kemajuan. Selesaikan siasatan. Tentukan pertanggungjawaban berdasarkan bukti.

Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran. – UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

The post Dedah status sebenar UiTM Holdings appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved