
PUTRAJAYA - Sistem Penilaian Prestasi Berasaskan Demerit (DEEP) bukan bertujuan menghukum penjawat awam kanan, sebaliknya menjadi mekanisme untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki kepimpinan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, keputusan DEEP bagi suku kedua tahun ini sudah dianalisis, manakala kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani selaras dengan objektif sistem berkenaan dalam menyokong reformasi perkhidmatan awam.
“DEEP bukan untuk menghukum, tetapi untuk memperbaiki kepimpinan penjawat awam, khususnya pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
“Jadi, perkara itu perlu diperbetulkan kerana DEEP adalah antara mekanisme reformasi perkhidmatan awam. Ia digunakan untuk memperbaiki perkhidmatan dan bukannya untuk menghukum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 dan penyampaian anugerah Public Sector AI Nexus Challenge 2026 di Putrajaya, semalam.
Ketika ditanya sama ada pegawai yang gagal mencapai tahap merit ditetapkan boleh dikenakan tindakan seperti penurunan pangkat, Shamsul Azri sekali lagi menegaskan, DEEP bukan mekanisme berbentuk hukuman.
“Seperti saya katakan tadi, ia bukan untuk menghukum, tetapi untuk memperbaiki,” katanya.
Penjelasan itu susulan permintaan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula pemberat penilaian di bawah DEEP bagi jawatan ketua setiausaha kementerian (KSU).
Kajian berkenaan bertujuan memastikan sistem penilaian prestasi bagi pengurusan tertinggi perkhidmatan awam kekal holistik dan relevan, selain mencerminkan cabaran pentadbiran awam yang semakin berkembang.
DEEP merupakan sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam kerajaan, dengan hasil penilaiannya digunakan untuk mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan dan bukan sebagai asas tindakan berbentuk hukuman. - Getaran, 4 September 2026





