Penjawat awam perlu kuasai AI, elak ketinggalan – KPPA

PoliticsTechnology
11 Aug 2026 • 11:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penjawat awam perlu kuasai AI, elak ketinggalan – KPPA

PUTRAJAYA: Kecerdasan Buatan (AI) tidak akan menggantikan penjawat awam, sebaliknya penjawat awam yang menguasai teknologi itu bakal menggantikan mereka yang tidak menggunakannya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, perkembangan AI kini bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan kerana ia sudah berada dalam organisasi dan berkembang daripada teknologi eksperimen kepada alat kerja harian dalam tempoh yang singkat.

“Malah semakin banyak organisasi awam di seluruh dunia mula menggunakan Generative AI bagi membantu penyelidikan, analisis, penyediaan laporan dan penyampaian perkhidmatan.

“Namun, ingin saya tegaskan di sini, AI tidak akan menggantikan penjawat awam, sebaliknya penjawat awam yang menguasai AI bakal menggantikan penjawat awam yang tidak menggunakannya. Pada masa hadapan, AI akan menjadi kebiasaan asas sebagaimana komputer dan Internet hari ini. Mereka yang enggan menguasainya pasti akan ketinggalan,” katanya.

Terdahulu, ucaptama Wan Ahmad Dahlan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail sempena Simposium Perjawatan Sektor Awam Bertemakan Meneroka Masa Depan Pekerjaan Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan AI dalam sektor awam mesti berlandaskan prinsip yang jelas bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja pantas, malah adil, berintegriti, telus, mematuhi undang-undang dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Teknologi mungkin berupaya mempercepat analisis data, namun kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan tetap bersumberkan akal budi manusia. Kerana pada akhirnya, perkhidmatan awam ini dibina demi kebaikan rakyat, kesejahteraan insan, dan kemakmuran negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, nilai sebenar penjawat awam pada masa hadapan, bukan lagi terletak pada keupayaan memproses maklumat, sebaliknya keupayaan membuat pertimbangan, menyelesaikan masalah kompleks, memimpin perubahan, membina kepercayaan dan menghasilkan nilai kepada rakyat.

“Dengan kata lain, penjawat awam masa depan bukan lagi sekadar pelaksana arahan, tetapi pencipta impak yang meletakkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya. – UTUSAN

The post Penjawat awam perlu kuasai AI, elak ketinggalan – KPPA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved