
PETALING JAYA – Pelajar dan tenaga pengajar beragama Hindu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) diberikan kemudahan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid sempena sambutan Deepavali.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, kemudahan itu akan berkuat kuasa mulai 5 November 2026 (Khamis) hingga 13 November 2026 (Jumaat).
“(Ia) bagi memberi ruang kepada pelajar dan tenaga pengajar yang meraikan Deepavali untuk pulang ke kampung halaman serta meluangkan masa bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, KPT menjelaskan bahawa pelaksanaan kemudahan itu tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik di institusi masing-masing.
Katanya, ia bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti akademik tidak terjejas.
Dalam pada itu, KPT turut mengharapkan sambutan Deepavali tahun ini membawa kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat beragama Hindu.
“KPT mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2026 kepada seluruh pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
“Semoga perayaan Pesta Cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Deepavali Nal Valthukal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Deepavali: PdP hibrid untuk pelajar, pengajar IPTA beragama Hindu appeared first on Kosmo Online.






