
PETALING JAYA – Seramai 1,552 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menerima manfaat Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) dengan peruntukan berjumlah RM24.76 juta setakat 30 September lalu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang pinjaman pendidikan.
Beliau berkata, BAeK PTPTN yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 itu menawarkan pembiayaan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar berdaftar dalam pangkalan data eKasih yang mengikuti pengajian diploma atau ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di IPTA.
“Melalui BAeK PTPTN, impian pendidikan tinggi golongan memerlukan dapat direalisasikan melalui sokongan kewangan yang menyeluruh, sekali gus memberi dorongan kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan memulakan kerjaya tanpa hutang,” katanya.
Dalam pada itu, Norliza menyeru pelajar yang menerima tawaran BAeK PTPTN tetapi masih belum mengembalikan dokumen tawaran supaya segera melengkapkan dan menyerahkannya secara fizikal di mana-mana kaunter cawangan PTPTN terdekat.
“Dokumen berkenaan perlu diserahkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh surat tawaran bagi memastikan urusan pembayaran biasiswa pada setiap semester berjalan lancar.
“Langkah ini penting bagi memastikan urusan pembayaran biasiswa yang dilaksanakan pada setiap semester dapat berjalan dengan lancar, sekali gus membantu pelajar meneruskan pengajian dengan lebih teratur,” katanya.
Untuk rekod, permohonan BAeK PTPTN adalah berdasarkan permohonan pinjaman PTPTN menerusi aplikasi web myPTPTN.
“Pelajar perlu mendapat kelulusan pinjaman terlebih dahulu sebelum ditawarkan biasiswa itu sekiranya memenuhi syarat ditetapkan.
“Pelajar yang layak akan dimaklumkan melalui e-mel dan notifikasi dalam aplikasi myPTPTN,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 1,000 pelajar terima manfaat BAeK PTPTN appeared first on Kosmo Online.






