DeepSeek, pembangun model kecerdasan buatan terkemuka dari China, kini dilihat telah melabur sebanyak $20.8 juta pada pembangun robot terkemuka China, Unitree. Ini sekaligus memberikan pegangan sebanyak 2.31% pada DeepSeek dalam syarikat Unitree.

Melalui pelaburan ini juga, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam membangunkan model AI yang dioptimasikan untuk robot berbentuk manusia. Ini sekaligus membolehkan kepakaran AI milik DeepSeek dan juga kepakaran kejuruteraan mekanikal Unitree digabungkan, dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik.
Pada hari ini, Unitree sedia menerajui arena robotik di China, dengan penawaran robot yang boleh berjalan, berlari dan melakukan sejumlah aksi. Pasaran di China sendiri berlumba antara satu sama lain dalam pembangunan robotik, mendahului pelbagai negara lain di dunia.





