DI saat dunia Islam terus diasak dengan pelbagai cabaran, daripada perang, perpecahan geopolitik, serangan pemikiran, krisis ekonomi hinggalah perebutan pengaruh politik yang tidak berkesudahan, penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Terengganu hadir tepat pada waktunya.
Ia membawa satu mesej yang jauh lebih besar dan lebih mendesak, iaitu umat Islam di Alam Melayu tidak lagi mampu untuk terus berpecah.
Selama tiga hari, dari 2 hingga 4 April, bumi Terengganu Darul Iman menjadi saksi kepada pertemuan para pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
Mereka datang daripada latar yang berbeza, namun akhirnya bertemu pada satu noktah yang sama, iaitu perpaduan ummah ialah prasyarat kepada kekuatan, maruah dan masa depan umat Islam.
Kejayaan paling besar himpunan ini ialah kemampuannya mengangkat semula perbahasan tentang perpaduan ummah daripada sekadar slogan kepada agenda yang nyata.
Ketika ramai pihak semakin terperangkap dalam politik kepartian yang sempit dan perbalahan kelompok yang memenatkan, ijtimak ini mengingatkan bahawa sejarah tidak pernah berpihak kepada umat yang berpecah.
Daripada himpunan inilah lahirnya Deklarasi Alam Melayu yang mengandungi sembilan deklarasi besar. Namun daripada sembilan deklarasi itu, deklarasi pertamanya, iaitu Islam Sebagai Asas Perpaduan Ummah, paling penting kerana ia menjadi nadi kepada keseluruhan gagasan yang dibawa.
Deklarasi ini menegaskan bahawa Islam ialah asas perpaduan ummah yang berpaksikan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran. Ia membawa mesej bahawa perpaduan yang sebenar mesti berakar pada suatu nilai yang kekal dan, bagi umat Islam, nilai itu ialah Islam sendiri.
Dalam ucaptamanya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Alam Melayu menerima Islam bukan dalam pengertian yang sempit, tetapi sebagai al-din, iaitu suatu sistem hidup yang lengkap.
Penegasan ini sangat besar maknanya kerana ia menjelaskan bahawa Islam bukan hanya urusan ibadah peribadi, tetapi mencakupi amanah, khilafah dan tanggungjawab mentadbir kehidupan dengan petunjuk Allah.
Islam bukan sekadar agama ritual yang terpisah daripada urusan masyarakat, politik dan tamadun. Islam ialah al-din, sistem hidup yang lengkap. Ia mengajar manusia erti keadilan, mengawal kuasa agar tidak zalim, membentuk akhlak kepimpinan, mendidik umat supaya mengurus perbezaan dengan hikmah dan menolak ekstremisme serta fitnah yang merosakkan masyarakat.
Abdul Hadi juga mengingatkan bahawa para pendakwah dan ulama yang membawa Islam ke Nusantara terdahulu berjaya mengislamkan masyarakat secara damai, berhikmah dan tanpa paksaan.
Mereka tidak berpecah dalam perkara dasar dan rukun, walaupun wujud perbezaan mazhab dalam perkara cabang. Gambaran ini sangat penting kerana ia menunjukkan bahawa kekuatan Islam di rantau ini sejak awal lagi dibina atas ilmu, hikmah dan keadilan, bukannya ketaksuban sempit atau permusuhan sesama sendiri.
Sebab itulah kealpaan melaksanakan amanah kepimpinan, kelemahan pegangan terhadap ajaran Islam, kegagalan mengurus perbezaan dalam masalah agama, budaya fitnah dan berita palsu serta adu domba pihak luar hanyalah jalan pintas menuju kehancuran.
Sejarah telah lama mengajar bahawa empayar yang besar bukan tumbang semata-mata kerana musuh dari luar, tetapi kerana keruntuhan dalaman yang dibiarkan merebak tanpa kawalan.
Atas sebab itulah maka perpaduan ummah wajar diperkukuh atas dasar keadilan, kesederhanaan, kedamaian dan kebenaran yang bertunjangkan hukum syarak dan maqasid syariah sebagai satu formula keseimbangan, iaitu tegas pada prinsip tetapi adil dalam tindakan, serta kukuh pada aqidah tetapi matang dalam bernegara.
Lebih tajam lagi, ucaptama Abdul Hadi mengingatkan bahawa kejatuhan umat Islam sepanjang sejarah berlaku apabila wujud kelemahan ulama, kelalaian pemimpin dan kejahilan penganut.
Teguran ini menjadikan mesej ijtimak sangat jelas, iaitu ancaman kepada umat bukan sahaja datang dari luar tetapi juga berpunca daripada kegagalan dalaman untuk memahami Islam dengan betul, memimpin dengan amanah dan mengekalkan perpaduan.
Ucapan-ucapan yang disampaikan sepanjang himpunan ini memperkukuh lagi semangat deklarasi ini. Inti ucaptama Abdul Hadi menegaskan bahawa Islam di Nusantara berkembang secara damai, bahawa ulama yang bertafaqquh menjadi kunci penyatuan umat, bahawa perpecahan dan kejahilan ialah punca kelemahan dan bahawa khilaf mazhab tidak sepatutnya menjadi sebab perpecahan.
Dalam masa yang sama, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan bahawa hak kehidupan bernegara setiap rakyat tanpa mengira agama, kaum dan budaya mesti dihormati. Ini penting kerana ada pihak yang cuba menggambarkan sebarang seruan memperkukuh Islam sebagai ancaman kepada masyarakat majmuk.
Sedangkan apa yang ditekankan dalam himpunan ini ialah kepimpinan Islam yang menegakkan keadilan, memelihara keharmonian dan menghormati hak yang dijamin dalam Perlembagaan.
Hakikatnya, Islam sebagai asas perpaduan ummah bukan ancaman kepada kestabilan negara. Sebaliknya, ia menjadi benteng moral kepada keamanan yang lebih tulen. Tanpa asas ini, umat akan terus terumbang-ambing antara sentimen, emosi dan percaturan sempit sehingga akhirnya gagal membina kekuatan yang sebenar.
Malah, semangat ucaptama Abdul Hadi juga memperlihatkan bahawa perpaduan umat Islam bukan bererti menafikan masyarakat majmuk, tetapi meletakkan umat Islam dalam keadaan cukup kuat, cukup berilmu dan cukup stabil untuk memimpin dengan adil. Inilah hakikat Islam yang diterima di Nusantara sejak awal, di mana Islam diterima kerana keadilannya, bukan kerana paksaan.
Apa yang berlaku di Kuala Nerus sepanjang tiga hari ini memperlihatkan bahawa agenda perpaduan ummah masih hidup, masih relevan dan masih mendapat sambutan. Namun himpunan ini juga membawa satu peringatan yang tajam, iaitu jika umat Islam terus gagal kembali kepada asas yang sebenar, mereka akan terus lemah walaupun ramai dan akan terus kehilangan pengaruh walaupun pernah memiliki sejarah yang gemilang.
*Prof Madya Dr Mohd Azhar Abdullah ialah Dekan Fakulti Syariah dan Muamalat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)
