Perpaduan atau kehancuran: Isyarat besar himpunan alam Melayu

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Himpunan Alam Melayu 2026

SALAH satu daripada kandungan Deklarasi Alam Melayu yang terhasil daripada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Terengganu dari 2 hingga 4 April menyeru semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam.

Seruan ini lahir tepat pada masanya. Ia juga terhasil daripada satu realiti yang semakin jelas, iaitu umat Islam mungkin ramai dan orang Melayu mungkin majoriti, tetapi jumlah yang besar tidak membawa makna jika kuasa politiknya berpecah, suaranya berselerak dan kekuatannya dibazirkan dalam pertelingkahan sesama sendiri.

Inilah kelemahan yang terus menghantui umat. Kita mahu Islam kuat, tetapi pemimpinnya bertembung sesama sendiri. Kita mahu Melayu dihormati, tetapi pertubuhan yang mengaku memperjuangkannya gagal mencari titik muafakat.

Kita mahu kuasa politik terus memayungi agama, tetapi kuasa itu dihakis sedikit demi sedikit oleh perebutan pengaruh, ego kepimpinan dan kegagalan membezakan antara musuh sebenar dengan pesaing sesama sendiri.

Sebab itulah pemimpin serta pertubuhan politik dan sosial yang menaungi umat Islam perlu sentiasa mengutamakan kepentingan Islam dan umatnya. Tanpa kesatuan, umat Islam akan terus masuk ke gelanggang dengan kekuatan yang terpecah lalu akhirnya menjadi lemah bukan kerana lawannya kuat tetapi kerana mereka sendiri tidak bersatu.

Pidato-pidato yang disampaikan dalam Pidato Penyatuan Ummah sepanjang malam kemuncak himpunan ini juga sarat dengan nada yang sama.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dengan jelas menegaskan bahawa rakyat sudah mahu bersatu, tetapi masih ada pemimpin yang enggan bersatu.

Kata-kata beliau bahawa rakyat boleh menjatuhkan pemimpin yang tidak mahu bersatu adalah satu sindiran tajam kepada budaya politik yang terlalu mementingkan kedudukan diri hingga sanggup mengorbankan agenda besar umat.

Lebih tajam lagi apabila beliau menyebut bahawa lebih baik “berbahagi kita menang daripada berebut kita kalah”. Ungkapan itu mungkin ringkas, tetapi ia merumuskan seluruh dilema politik Melayu-Islam hari ini, iaitu selagi setiap pihak mahu menang bersendirian, mereka akhirnya akan kalah bersama-sama.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pula menyuntik dimensi yang lebih luas apabila menyeru perpaduan ummah merentas mazhab. Beliau mengingatkan bahawa musuh umat Islam tidak peduli sama ada seseorang itu Sunni atau Syiah.

Mereka melihat umat Islam sebagai satu blok yang sama. Tetapi umat itu sendiri terus meletakkan tembok-tembok perbezaan yang akhirnya memudahkan mereka dilemahkan.

Dalam erti kata lain, perpecahan dalaman ialah hadiah paling besar yang sering diberikan umat Islam kepada musuh-musuhnya. Sebab itu Mukhriz menyeru supaya umat Islam berhenti bertelagah, meninggalkan persengketaan lama dan kembali bersatu di bawah panji tauhid.

Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim, pula mengingatkan bahawa “Islam itu asas, kuasa adalah penjaga kepada agama”. Ungkapan ini sangat penting kerana agama memerlukan kuasa untuk dipertahankan tetapi kuasa tidak akan bermakna jika pemimpin yang memilikinya gagal menggunakannya demi kepentingan umat.

Beliau juga menegaskan bahawa penyatuan tidak akan berlaku secara automatik. Ia mesti dirancang, dirunding, diperincikan dan dilaksanakan secara berterusan. Tidak memadai berhenti pada sembilan deklarasi jika selepas itu semua pihak kembali ke gelanggang masing-masing tanpa pelan tindakan yang jelas.

Nada yang sama turut dibawa oleh Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya, yang mengingatkan bahawa perpaduan bukan sekadar berkumpul tetapi mesti jelas agenda di sebaliknya. Banyak slogan kedengaran gah, tetapi mati di tengah jalan kerana tiada kesungguhan untuk berkongsi kuasa, mendengar pandangan NGO dan menerima perbezaan.

Sebab itu beliau menyebut bahawa apabila gagal bersatu, isu kecil pun tidak mampu diselesaikan. Kata-kata ini mungkin pedih untuk didengari tetapi itulah realiti yang sedang dihadapi oleh umat Islam sekarang.

Terlalu banyak tenaga umat habis digunakan untuk bertelagah sesama sendiri sehingga isu-isu besar seperti ekonomi, pendidikan, kos sara hidup dan masa depan generasi muda gagal ditangani dengan berkesan.

Dalam sesi Santai Bicara Bersama Murabbi pula, Ustaz Azhar Idrus menegaskan bahawa perpaduan umat Islam mesti bermula dari institusi masjid. Menurut beliau, masjid ialah tempat terbaik di muka bumi untuk menyatukan umat kerana di situlah manusia yang datang daripada pelbagai latar belakang diajar bergerak serentak mengikut imam dalam solat berjemaah. “Kita bersatu bukan kerana parti atau kelompok, tetapi kerana ketaatan kepada perintah agama,” katanya.

Kenyataan Ustaz Azhar Idrus ini sangat signifikan kerana selama ini perpaduan sering dibincangkan dalam bahasa politik dan strategi, tetapi beliau mengingatkan bahawa perpaduan sebenar bermula daripada disiplin, tarbiah dan amalan harian.

Jika umat Islam tidak mampu berdiri sebaris di masjid, bergerak mengikut imam dan mengenepikan perbezaan kecil dalam ibadah, maka lebih sukar untuk mereka bersatu dalam isu yang lebih besar seperti politik, ekonomi dan masa depan umat.

Agak mengecewakan apabila tiada seorang pun wakil UMNO hadir walaupun jemputan telah dihantar kepada semua parti Melayu. Ketika pelbagai tokoh, parti dan pertubuhan sanggup mengenepikan perbezaan demi menyahut seruan perpaduan, ketidakhadiran ini pasti mengundang tanda tanya.

Namun begitu, seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pintu perpaduan tidak pernah ditutup. Beliau menegaskan bahawa pertemuan boleh diteruskan pada bila-bila masa melalui majlis, perbincangan dan mesyuarat yang lain.

Sikap ini penting kerana ia menunjukkan bahawa himpunan ini tidak dibina atas semangat memencilkan atau memusuhi sesiapa. Sebaliknya, ia membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk kembali duduk semeja.

Hakikatnya, umat Islam dan orang Melayu sudah terlalu lama rugi akibat perpecahan. Maka, mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara tidak seharusnya terus mencari alasan untuk menjauhkan diri daripada usaha penyatuan ini. Rakyat sedang memerhati dan sejarah akhirnya akan menilai siapa yang benar-benar mahu bersatu dan siapa yang terus memilih untuk kekal berjarak.

Sebab itulah selepas berakhirnya Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, persoalan paling penting bukan lagi semeriah mana program ini berlangsung tetapi persoalan sebenar ialah sama ada para pemimpin benar-benar bersedia untuk meninggalkan ego, berkongsi ruang dan duduk semeja demi masa depan umat.

Deklarasi telah dibaca. Seruan telah dilafazkan. Kini rakyat sedang memerhati. Jika para pemimpin masih gagal bersatu selepas semua amaran dan peringatan diberikan, maka masalah sebenar bukan lagi pada rakyat yang tidak mahu bersama, tetapi pada mereka yang masih terlalu takut kehilangan kedudukan sehingga sanggup melihat umat terus berpecah.

*** Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis sosio-politik tempatan