Syabu RM18 juta dirampas, 6 ditahan

4 Aug 2026 • 12:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Syabu RM18 juta dirampas, 6 ditahan

SEMPORNA: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang disyaki beroperasi di negeri ini selepas merampas lebih 329 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM18 juta menerusi dua operasi besar di Tawau dan Semporna pada 12 dan 13 Julai.

Operasi bersepadu itu membawa kepada rampasan 329.236kg syabu serta penahanan enam suspek, termasuk sepasang suami isteri, manakala seorang lagi suspek anggota sindiket masih diburu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah (JSJN Sabah) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kunak dan Semporna melancarkan Op Bayu 11 susulan maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di sebuah ladang di daerah ini.

Beliau berkata pada 4.15 pagi, 13 Julai, pasukan polis memeriksa sebuah van putih jenis Toyota Hiace dan menemukan 24 beg pakaian mengandungi 240 bungkusan dipercayai syabu seberat 254.35kg.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pasangan suami isteri pada pukul 5 petang hari sama di sebuah rumah di Pasir Putih, Putatan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Isnin.

Beliau berkata polis turut melancarkan gerakan memburu seorang lelaki berusia 46 tahun dikenali sebagai Cheong Min Ken yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Kami percaya dadah itu mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa dan sedang disediakan untuk dihantar keluar dari Sabah.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil soal siasat, kami mengesyaki dadah itu dibawa masuk ke Sabah melalui laluan sempadan Sipitang,” katanya, menambah pihaknya juga percaya bekalan dadah itu mempunyai kaitan dengan kawasan Segi Tiga Emas yang melibatkan Myanmar, Thailand dan Laos.

Beliau berkata dalam Op Bayu 10 pada 12 Julai, JSJN Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kunak dan Tawau memeriksa sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu di kawasan parkir Jalan Tun Hamdan.

“Hasil pemeriksaan menemukan tiga beg golf dan sebuah beg hitam mengandungi 70 bungkusan dipercayai syabu seberat 74.86kg,” katanya.

Seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai pemilik kenderaan itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan susulan membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing di Batu 4, Lahad Datu pada 13 Julai. Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Sandakan untuk melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Persona. Polis turut merampas wang tunai RM1,200,” katanya.

Pada 14 Julai, seorang lagi lelaki tempatan berusia 25 tahun yang disyaki terbabit dalam kes itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Chong Thien Vun, Tawau.

Polis turut merampas wang tunai RM12,674, sebentuk cincin emas bernilai RM2,400 dan seutas rantai emas bernilai RM7,300.

Jauteh berkata semua suspek yang ditahan, berusia antara 25 hingga 47 tahun, didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu dibekalkan kepada lebih 940,614 individu, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM18 juta.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan JSJN Sabah serta maklumat yang disalurkan orang ramai berhubung kegiatan pengedaran dadah.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Jauteh berkata JSJN Sabah telah melaksanakan 12 siri Op Bayu antara Januari hingga 30 Julai yang menyaksikan rampasan hampir empat tan dadah.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan dalam Op Bayu 1 hingga Op Bayu 9 telah didakwa di mahkamah, manakala individu yang tidak dapat didakwa dikenakan tindakan di bawah langkah-langkah pencegahan khas.

“Bagi Op Bayu 10, 11 dan 12, semua suspek masih dalam siasatan dan akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata Op Bayu 12 yang dijalankan di Sipitang pada 30 Julai membawa kepada rampasan 3kg dadah dan penahanan tiga individu.

“Polis turut bekerjasama dengan agensi lain, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, bagi memperkukuh usaha menghalang kemasukan dadah ke negeri ini.

“Pelbagai langkah termasuk risikan berterusan sedang dilaksanakan bagi meminimumkan kemasukan dadah ke Sabah dan kami akan terus melakukan yang terbaik untuk memastikan dadah tidak memasuki negeri ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved