Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, 22, berdepan ujian paling getir dalam hidupnya apabila tangan kanannya terpaksa dipotong selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.
Keputusan sukar itu dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawa atlet berkenaan yang menjalani pembedahan hampir tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Selasa.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengesahkan pembedahan tersebut selesai kira-kira jam 8.40 malam, namun keadaan Hafizuddin masih memerlukan pemantauan pasukan perubatan.
Menurutnya, sehingga awal pagi Rabu, pihak persatuan masih belum menerima maklumat sama ada atlet berkenaan sudah dipindahkan ke wad biasa kerana beliau masih berada di bawah kesan ubat bius.
“Setakat pagi ini, kami belum mendapat maklumat sama ada beliau sudah dipindahkan ke wad biasa atau belum kerana masih di bawah kesan bius.
“Setakat selepas jam 4.30 pagi tadi, beliau masih belum sedar dan mungkin akan mengambil sedikit masa, berkemungkinan pada pagi ini (untuk sedar),” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam menghadapi situasi sukar itu, PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) turut memberikan perhatian terhadap kebajikan Hafizuddin dan keluarganya, termasuk keperluan mendapatkan sokongan psikologi serta kaunseling awal.
Ayub berkata, pihaknya memahami kehilangan anggota badan merupakan satu perubahan besar dalam kehidupan atlet muda itu, justeru sokongan moral amat diperlukan bagi membantu beliau melalui proses pemulihan.
“Kita bersama MSN berada di hospital sejak pagi semalam bagi mengikuti perkembangan keadaannya.
“Kita juga sudah berbincang mengenai keperluan menyediakan kaunseling dan sokongan moral kerana kita faham keadaan ini bukan mudah untuk diterima,” katanya.
Difahamkan, Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala.

Insiden itu pastinya mengejutkan peminat sukan tanah air, lebih-lebih lagi apabila Hafizuddin sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan negara dengan meraih pingat emas kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Dalam temasya tersebut, beliau merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 345kg, hasil angkatan 162kg bagi acara snatch dan 183kg menerusi clean and jerk.
Lebih membanggakan, angkatan 162kg itu turut memecahkan rekod kebangsaan bagi acara snatch, selain menyaksikan beliau mencipta rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan.
Daripada kejayaan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, Hafizuddin kini berdepan cabaran besar dalam kehidupan peribadinya, dengan sokongan keluarga, PABM dan MSN menjadi antara perkara penting sepanjang proses pemulihan atlet muda tersebut.
Sumber: Sinar Harian







