Kerajaan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Semua kos perubatan & rawatan ditanggung kerajaan
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan tersebut meliputi keseluruhan kos perubatan, rawatan susulan serta penginapan di wad sehingga atlet berusia 22 tahun itu dibenarkan keluar dari hospital.
Dalam pada itu, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara.
Menurut beliau, pihaknya turut mengenal pasti beberapa bentuk perlindungan kewangan yang layak diterima Hafizuddin termasuk manfaat insurans serta faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Semakan MSN menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000.
“Beliau juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang cuti sakit, diikuti Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berjumlah RM915.84 sebulan seumur hidup serta bayaran pukal sekali gus sebanyak RM39,060.58,” katanya.
Turut sampaikan sumbangan peribadi
Selain bantuan kewangan berkenaan, Hafizuddin juga layak menikmati Faedah Perubatan serta kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional yang disediakan PERKESO.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq yang berkesempatan menziarahi atlet tersebut di HKL memaklumkan Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan masih menunjukkan semangat tinggi meskipun berdepan ujian besar.
Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu bapa serta ahli keluarga atlet berkenaan sebagai tanda sokongan.
Bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan di Kuala Lumpur, MSN turut menyediakan kemudahan penginapan dan makanan di Casa MSN atau lokasi lain yang bersesuaian.
“MSN juga akan meneliti bentuk bantuan dan sokongan jangka panjang merangkumi aspek pemulihan, kaunseling dan peluang masa depan bagi memastikan kebajikan beliau terus terpelihara,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai menghormati privasi Hafizuddin dan keluarganya sepanjang proses rawatan serta pemulihan.
Terdahulu, Hafizuddin yang mesra disapa Udin dilaporkan mengalami kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam, Isnin lalu.
Susulan kecederaan serius dialaminya, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat memaklumkan keputusan memotong tangan atlet tersebut dibuat atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya.
Untuk rekod, Hafizuddin pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas kategori 88 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan jumlah angkatan 345kg, termasuk mencatat rekod kebangsaan snatch 162kg.
Sumber: Facebook Taufiq Johari






