SCIB jelaskan mengapa Inland World tidak perlu tanggung kerugian projek RM83 juta di Sabah

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB jelaskan mengapa Inland World tidak perlu tanggung kerugian projek RM83 juta di Sabah Image from: SCIB jelaskan mengapa Inland World tidak perlu tanggung kerugian projek RM83 juta di Sabah johardy17/08/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menjelaskan mengapa rakan pembangunan bersamanya, Inland World Sdn Bhd (IWSB), tidak perlu menanggung sebarang kerugian projek Dimpoukon Residence dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM83.19 juta di Sabah.

 

Anak syarikat milik penuh SCIB bertanggungjawab terhadap pelaksanaan, pengurusan dan penyiapan projek serta pembayaran balik pinjaman penyambung RM19.20 juta, kata SCIB.

 

Penjelasan itu diberikan sebagai maklum balas kepada permintaan Bursa Malaysia untuk mendapatkan maklumat tambahan susulan pengumuman SCIB pada 7 Ogos berhubung perjanjian pembangunan bersama antara SCIB Ecobuild Sdn Bhd (SCIBE) dan IWSB.

 

SCIB berkata, terma perjanjian itu, termasuk pengagihan kerugian projek, dirunding selepas mengambil kira peranan, sumbangan dan obligasi masing-masing.

 

Di bawah perjanjian itu, IWSB akan kekal sebagai pemaju berdaftar projek berkenaan. IWSB telah memperoleh semua kelulusan diperlukan daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi penggunaan tanah projek, selain kelulusan pelan pembangunan dan pelan lain berkaitan daripada pihak berkuasa tempatan.

 

SCIBE pula akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan, pengurusan dan penyiapan projek tersebut.

 

SCIB berkata, selepas mengambil kira jangkaan pulangan kewangan, keseluruhan terma komersial dan langkah mitigasi risiko, Lembaga Pengarah berpendapat perjanjian itu adalah adil, munasabah serta demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang sahamnya.

 

SCIBE ambil tanggungjawab pinjaman penyambung RM19.20 juta

Selepas semua syarat terdahulu dipenuhi, SCIBE bertanggungjawab menyelenggara, membayar balik dan melunaskan sepenuhnya pinjaman penyambung RM19.20 juta yang diberikan kepada IWSB bagi pembangunan projek itu, termasuk semua faedah, fi, caj, komisen dan jumlah lain yang perlu dibayar.

 

Kira-kira RM9.95 juta daripada pinjaman berkenaan telah dikeluarkan dan digunakan bagi perbelanjaan berkaitan projek, termasuk penyelesaian berkaitan tanah projek, pengeluaran jaminan bank kepada pemilik tanah di bawah perjanjian usaha sama, bayaran berkaitan permit pengiklanan dan lesen pemaju, fi pecah bahagi serta fi perunding.

 

Tanah projek telah dicagarkan kepada pembiaya sebagai sekuriti bagi pinjaman penyambung itu.

 

SCIBE juga berhak menggunakan baki pinjaman penyambung yang belum dikeluarkan bagi projek tersebut, tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian kemudahan.

 

SCIB turut memberikan Bursa Malaysia pecahan kos berkaitan projek yang perlu dibayar balik berjumlah kira-kira RM4.13 juta.

 

Komponen terbesar merangkumi RM1.21 juta bagi pembelian tanah yang dikenal pasti sebagai CL 215283426, RM1.07 juta dalam bentuk deposit tetap kepada pembiaya, kos bilik pameran RM535,865.95, kos penyediaan awal tapak RM367,000, fi guaman dan duti setem pinjaman RM350,344 serta fi profesional RM339,731.50.

 

Anggaran keuntungan pembangunan RM7.93 juta

Berdasarkan kajian kebolehlaksanaan awal SCIB, Dimpoukon Residence mempunyai anggaran GDV RM83.19 juta dan anggaran kos pembangunan RM75.26 juta, menghasilkan anggaran keuntungan pembangunan RM7.93 juta atau bersamaan 9.53% daripada GDV.

 

Di bawah perjanjian pembangunan bersama itu, SCIBE berhak menerima 80% daripada keuntungan pembangunan bersih projek, manakala baki 20% akan diterima IWSB.

 

Pembangunan di Penampang itu merangkumi dua blok kondominium sembilan tingkat dengan keseluruhan 144 unit kediaman berserta kemudahan tempat letak kereta di tingkat bawah. Harga jualan purata dianggarkan kira-kira RM575,000 seunit.

 

Setakat 13 Ogos, semua syarat terdahulu di bawah perjanjian pembangunan bersama telah dipenuhi.

 

IWSB telah memulakan kerja pembersihan tapak dan sedang membuat persediaan untuk menyerahkan tapak kepada SCIBE, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada atau sekitar 17 Ogos.

 

Projek itu dijangka siap menjelang Februari 2029.

 

Pemilik tanah berhak terima balasan RM2 juta

SCIB turut memberikan butiran mengenai perjanjian usaha sama bertarikh 7 Julai 2023 antara IWSB dan pemilik tanah membabitkan sebidang tanah seluas 0.811 ekar di Penampang.

 

Di bawah perjanjian itu, pemilik tanah berhak menerima balasan RM2 juta kerana menyediakan tanah mereka bagi pembangunan tersebut, terdiri daripada RM3,000 secara tunai dan baki RM1.997 juta melalui enam unit apartmen yang akan dibina oleh pemaju.

 

Sekiranya IWSB gagal menyiapkan dan menyerahkan enam unit berkenaan dalam tempoh penyiapan yang dipersetujui, pemilik tanah berhak menerima ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) pada kadar yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli masing-masing.

 

Sebagai alternatif, pemilik tanah boleh menuntut RM2 juta daripada IWSB sebagai penyelesaian penuh balasan tersebut, berserta tambahan RM500,000 sebagai ganti rugi dipersetujui. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved