Denda RM50 Juta Berjaya Dibayar, Najib Bakal Habiskan Hukuman Penjara Di Rumah

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 3:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Denda RM50 Juta Berjaya Dibayar, Najib Bakal Habiskan Hukuman Penjara Di Rumah

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal menjalani baki hukuman penjara di rumah, selepas berjaya menyelesaikan denda RM50 juta yang ditetapkan, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan 18 September lalu berjaya mencapai sasaran ditetapkan.

Menurut beliau, UMNO telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

“UMNO dengan ini secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak yang diwujudkan untuk penerimaan dana sumbangan orang ramai.

“Tiada lagi keperluan untuk pendanaan awam (crowdfunding) bagi tujuan tersebut,” katanya. 

Asyraf berkata, UMNO ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah atas kejayaan berkenaan. 

“Kami ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli UMNO seluruh Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang ke dalam akaun yang disediakan sejak hari pertama,” katanya. 

Sementara itu, urusan pembayaran denda Najib menjadi tumpuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila pegawai khas beliau bersama peguam hadir bagi menyelesaikan bayaran berkenaan.

Ahmad Lutfi Azhar dan Muhammad Farhan Shafee tiba di kaunter pembayaran mahkamah kira-kira jam 12.10 tengah hari sebelum menuju ke Pejabat Pendaftaran Jenayah.

Muhammad Farhan turut dilihat membawa sebuah beg hitam berkunci ketika memasuki pejabat berkenaan.

Denda RM50 juta tersebut adalah syarat ditetapkan Lembaga Pengampunan jika bekas Ahli Parlimen Pekan itu mahu menghabiskan baki hukuman penjara beliau menerusi tahanan rumah. - Getaran, 6 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved