
Selesai membayar denda RM50 juta bagi pihak Datuk Seri Najib Razak, UMNO kini berdepan satu persoalan yang jauh lebih besar daripada sekadar kejayaan mengumpulkan wang tersebut: siapa sebenarnya ‘pembayar’ denda itu?
Pengumuman bahawa keseluruhan denda telah dilunaskan tidak sepatutnya menutup ruang pertanyaan, apatah lagi apabila kutipan berjumlah puluhan juta ringgit itu dilakukan menerusi tabung khas yang dibuka kepada ahli parti dan orang ramai.
UMNO mungkin sudah berjaya mencapai sasaran, tetapi kejayaan mengumpulkan wang bukan lesen untuk mengelak daripada memberikan penjelasan.
Rakyat berhak mengetahui dari mana datangnya RM50 juta itu, siapa yang menyumbang dan bagaimana dana berkenaan diuruskan sehingga akhirnya sampai ke tangan mahkamah.
Ini bukan soal mempertikaikan hak UMNO membantu bekas presidennya. Ini soal ketelusan sebuah parti politik mengendalikan dana dalam jumlah besar, lebih-lebih lagi apabila wang tersebut digunakan untuk membayar denda seorang individu yang telah disabitkan kesalahan dalam kes jenayah berkaitan penyelewengan dana negara.
Justeru, akaun khas yang kini dikatakan telah ditutup tidak seharusnya terlepas daripada proses audit. Sebaliknya, setiap transaksi perlu diperiksa, setiap sumbangan perlu dikenal pasti dan sumber dana, sama ada dari dalam atau luar negara, mesti diperjelaskan.
Ia tidak memadai dengan sekadar mengumumkan wang sudah dibayar. Yang lebih penting ialah membuktikan bagaimana wang itu diperoleh.
Lebih mencurigakan dari sudut ketelusan ialah perjalanan kempen kutipan berkenaan yang pada awalnya kelihatan rancak, sebelum perkembangan jumlah sumbangan semakin senyap selepas beberapa minggu.
Tabung Solidariti Najib Razak dilancarkan pada 18 September lalu dengan sasaran RM50 juta. Lebih RM1 juta dilaporkan berjaya dikumpulkan tidak lama selepas kempen bermula. Namun, selepas perkembangan awal itu, UMNO tidak lagi memberikan maklumat berkala mengenai jumlah kutipan yang diterima.
Kemudian, secara tiba-tiba, parti itu mengumumkan bahawa sasaran RM50 juta sudah pun dicapai sepenuhnya.
Jadi, dari manakah datangnya baki puluhan juta ringgit itu? Siapa yang tampil menampung kekurangan tersebut? Adakah wang berkenaan dikumpulkan daripada ribuan penyumbang kecil atau disumbangkan oleh beberapa individu dan entiti berkepentingan?
Persoalan ini tidak boleh dijawab dengan alasan bahawa kempen solidariti itu mendapat sambutan. Jika kutipan dibuat secara terbuka, maka penjelasan mengenai jumlah dan sumber sumbangan juga perlu terbuka.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar meneliti akaun UMNO bagi mengesan aliran masuk dana berkenaan, mengenal pasti penyumbang serta memastikan tiada sebarang transaksi mencurigakan.
Pada masa sama, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) perlu menyemak sama ada kutipan bagi membayar denda peribadi seorang bekas pemimpin benar-benar dibenarkan di bawah perlembagaan UMNO dan Akta Pertubuhan 1966.
Persoalannya bukan sekadar sama ada UMNO mampu mengumpulkan RM50 juta, tetapi sama ada parti itu mempunyai asas perundangan untuk menggunakan jentera dan namanya bagi melaksanakan kutipan tersebut.
Hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan bahawa RM50 juta telah dibayar kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Beliau turut memaklumkan akaun khas yang diwujudkan untuk menerima sumbangan telah ditutup.
Namun, sehingga pengumuman itu dibuat, tiada pecahan terperinci mengenai jumlah akhir kutipan, bilangan penyumbang atau sumber kewangan yang membolehkan sasaran berkenaan dicapai.
Penutupan akaun tidak bermakna tanggungjawab memberikan penjelasan turut berakhir. Malah, apabila sesuatu kutipan melibatkan jumlah sebesar ini, rekod kewangannya sewajarnya menjadi lebih mudah untuk diperiksa, bukannya semakin sukar diakses selepas wang dibelanjakan.
Isu ini juga tidak boleh dipisahkan daripada kontroversi berterusan mengenai kedudukan Najib, termasuk laporan mengenai perpindahannya dari Penjara Kajang ke kediaman di Langgak Duta bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Semua kes perundangan yang membabitkan bekas perdana menteri itu telah melalui pelbagai prosiding mahkamah, dengan sembilan hakim termasuk seorang bekas Ketua Hakim Negara terlibat dalam proses kehakiman berkenaan. Setiap keputusan tersebut dibuat berdasarkan keterangan dan hujahan undang-undang yang dikemukakan di mahkamah, bukan semata-mata sentimen atau tekanan politik.
Namun, perkembangan terbaharu ini sekali lagi memperlihatkan betapa isu Najib terus mencetuskan perpecahan pandangan dalam masyarakat.
Bagi penyokongnya, pembayaran denda itu mungkin dianggap sebagai satu kejayaan. Tetapi bagi rakyat yang masih menuntut akauntabiliti, persoalan mengenai wang yang dikumpulkan oleh UMNO jauh daripada selesai.
Jangan sampai semangat solidariti politik dijadikan alasan untuk mengetepikan prinsip ketelusan. Membantu seorang bekas pemimpin mungkin keputusan politik UMNO, tetapi menguruskan dana RM50 juta tetap datang bersama tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.
SPRM dan JPPM perlu menentukan sama ada terdapat asas untuk siasatan atau pemeriksaan lanjut. UMNO pula perlu berhenti menganggap pengumuman pembayaran sebagai jawapan kepada segala persoalan.
RM50 juta sudah dibayar. Tetapi siapa yang membayarnya, dari mana wang itu datang dan adakah setiap sen diuruskan mengikut undang-undang?
Itulah persoalan yang masih menuntut jawapan.
Rakyat tidak memerlukan sekadar pengumuman bahawa denda telah dilunaskan. Rakyat berhak mendapat gambaran lengkap tentang bagaimana puluhan juta ringgit itu dikumpulkan.
Jika semuanya dilakukan dengan betul, tiada sebab untuk UMNO berdolak-dalik. Buka rekod, perincikan sumbangan dan buktikan bahawa kutipan itu bersih daripada sebarang pelanggaran.
Ketelusan tidak boleh ditutup bersama akaun bank. Ia memerlukan tanggungjawab, kejujuran dan harga diri. - Getaran, 6 November 2026





