
LONDON – Sebuah majlis perkahwinan di Britain menjadi huru-hara apabila tiga individu tidak dikenali membaling bom petrol ke arah beberapa kereta mewah yang diletakkan di luar dewan, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) di dewan Royal Shalimar di Sparkbrook, Birmingham, baru-baru ini.
Tiga bom petrol mendarat berhampiran tetamu termasuk seorang bayi, manakala dua lagi mengenai beberapa kenderaan termasuk sebuah Lamborghini dan McLaren.
Serangan dibuat ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung, dengan kira-kira 500 tetamu dilaporkan sedang menikmati juadah di dewan tersebut.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga individu berpakaian hitam sedang berdiri di seberang jalan sebelum salah seorang daripada mereka membaling tiga bahan letupan.
Individu kedua dilihat menghampiri deretan ‘supercar’ itu, sama ada untuk membaling sebutir lagi bom petrol atau menuang petrol ke atas api.
Semua suspek melarikan diri dengan berjalan kaki ke arah Jalan Mole sebelum menaiki sebuah kenderaan jenis VW Golf berwarna putih, kata polis tempatan.
Seorang jurucakap Polis West Midlands berkata, pihaknya sedang mencari saksi kejadian dan meneliti rakaman CCTV untuk siasatan lanjut. – AGENSI
The post Deretan ‘supercar’ dibaling bom petrol appeared first on Kosmo Digital.




