
Kota Kinabalu: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) menerusi anak syarikatnya, Sedcovest Holdings Sdn Bhd, bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menaik taraf Anjung Selera dan Anjung Perdana di Likas sebagai destinasi pesisir pantai utama.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan menerusi pembangunan sektor pelancongan, gastronomi, keusahawanan, kebudayaan dan aktiviti komuniti, selaras dengan aspirasi Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Kerja-kerja naik taraf kini sedang dilaksanakan sebagai persediaan meningkatkan pengalaman pengunjung menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Perbincangan strategik mengenai inisiatif itu dipengerusikan bersama Pengurus Besar Kumpulan Sedco Datuk Ar. James Wong Kein Peng dan Mayor Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah, serta turut dihadiri Pengurus Besar Sedcovest Holdings Yahyah Sidek.
Pada pertemuan itu, Sedcovest Holdings membentangkan cadangan pelan naik taraf Anjung Selera yang merangkumi kerja-kerja mencantikkan kawasan pesisir pantai serta penambahbaikan kemudahan awam.
Wong berkata kerjasama itu akan membantu mewujudkan kawasan pesisir yang lebih dinamik di samping membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan komuniti setempat.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk mewujudkan kawasan pesisir yang lebih meriah, bukan sahaja bagi meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya, malah menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dan komuniti tempatan.
“Dengan kerjasama erat bersama DBKK dan Sedcovest Holdings, kami menyasarkan Teluk Likas menjadi destinasi ikonik sempena Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika ini, Sedcovest Holdings menguruskan Anjung Selera, manakala Anjung Perdana berada di bawah pengurusan DBKK.
Kedua-dua pihak turut bersetuju meneroka inisiatif bersama bagi menghidupkan semula Anjung Perdana serta memperkukuh hubungan antara kawasan itu dengan Anjung Selera.
Satu jawatankuasa kerja bersama turut ditubuhkan bagi menilai cadangan yang dikemukakan dan membangunkan pendekatan bersepadu untuk pembangunan kawasan pesisir Likas.
Kerjasama itu dijangka merancakkan sektor pelancongan, menyokong pembangunan keusahawanan tempatan, meningkatkan kemudahan rekreasi awam serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi jangka panjang Kota Kinabalu.





