Destini menang kontrak perkhidmatan `tubular running' daripada Searah Malaysia hingga 2031

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Destini menang kontrak perkhidmatan `tubular running' daripada Searah Malaysia hingga 2031 Image from: Destini menang kontrak perkhidmatan `tubular running' daripada Searah Malaysia hingga 2031 johardy05/08/2026 - 18:30 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Destini Berhad memperoleh kontrak penyediaan perkhidmatan `tubular running' (TRS) daripada Searah (Malaysia) Sdn. Bhd. sehingga 29 Mac 2031, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas huluan di Malaysia.

 

Kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya yang terlibat dalam perkhidmatan minyak dan gas huluan, Destini Oil Services Sdn. Bhd. (DOS), menerusi Surat Anugerah (LOA) bertarikh 1 Julai 2026 bagi penyediaan perkhidmatan TRS untuk operasi Wilayah Barat Searah (Malaysia).

 

Nilai kontrak tidak didedahkan dengan Destini memberitahu bahawa "ia akan ditentukan berdasarkan pesanan pelepasan (release order) yang dikeluarkan oleh Searah (Malaysia) sepanjang tempoh kontrak".

 

Di bawah perjanjian itu, DOS akan menyediakan perkhidmatan `tubular running' dengan memanfaatkan kepakaran teknikal serta aset khusus miliknya bagi menyokong operasi penggerudian luar pesisir yang selamat dan cekap merentasi aset Searah (Malaysia).

 

Destini berkata, kontrak tersebut mengukuhkan lagi momentum perniagaan teras TRS syarikat di samping memperluaskan kehadirannya dalam industri minyak dan gas luar pesisir Malaysia.

 

Operasi kontrak akan disokong menerusi hab teknikal dan rangkaian bekalan DOS di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), Terengganu yang menjadi pusat operasinya bagi projek-projek luar pesisir.

 

Sokong pertumbuhan jangka panjang

Destini berkata, pelantikan itu mencerminkan keyakinan Searah (Malaysia) terhadap kepakaran teknikal dan keupayaan operasinya, selain membuka ruang untuk menyokong kejayaan operasi serta pertumbuhan jangka panjang pelanggan tersebut.

 

Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

Pengarah Eksekutif Destini, Ismail Mustaffa berkata, kontrak itu mencerminkan momentum operasi yang semakin kukuh bagi Destini Oil Services serta mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia perkhidmatan `tubular running' utama di Malaysia.

 

"Kami amat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Searah (Malaysia) kepada Destini Oil Services. Kontrak ini membuktikan momentum operasi kami yang berterusan dan terus mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia perkhidmatan TRS utama di Malaysia.

 

"Pasukan kami bersedia sepenuhnya untuk memberikan standard keselamatan dan kecemerlangan operasi yang tertinggi bagi memastikan kerjasama ini berjaya," katanya.

 

Searah (Malaysia), yang sebelum ini dikenali sebagai Seara Energy Sdn. Bhd., merupakan entiti operasi Searah di Malaysia yang terlibat dalam aktiviti minyak dan gas huluan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved